Thursday 16 April 2015

'1GB mana cukup' - Media Sosial

Ramai warga media sosial berpendapat kadar pakej jalur lebar baharu tetap mahal kerana mereka menggunakan lebih dari 1GB.-Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: “1GB mana cukup!!”

Itulah antara luahan pengguna media sosial sehari selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan bahawa kos pakej jalur lebar asas akan menunjukkan pengurangan yang ketara.

Dalam pengumuman pada Rabu, pakej mudah alih akan ditawarkan pada harga RM25. Pengguna yang melanggan pakej ini akan menikmati data bulanan sebanyak 1GB dan sekurang-kurangnya 3G-HSPA untuk kedua-dua perkhidmatan prabayar dan pasca bayar.

Pengurangan ini dianggarkan 14% lebih rendah daripada harga semasa.

Ramai berkata ini tetap mahal kerana 1GB terlalu sedikit dan ramai menggunakan lebih 4GB hingga 5GB setiap bulan.


Bagi perkhidmatan tetap, Telekom Malaysia (TM) tidak lama lagi akan menawarkan pakej jalur lebar asas pada harga RM38 sebulan untuk 1Mbps penggunaan data percuma sehingga 1GB.

Harga terbaharu ini adalah 57 peratus lebih rendah daripada harga semasa iaitu RM88 untuk pakej asas.

Pengguna Twitter dengan akaun @fitrihadidotcom bertanyakan kenapa RM38 tidak ditetapkan sebagai harga data tanpa had?

Pandangan ini turut dipersetujui oleh beberapa pengguna lain yang mahukan data tanpa had.

Ada juga yang berkata tiada guna harga diturunkan jika modem perlu 'direset’ dan internet yang tidak laju.

Pakej jalur lebar asas mudah alih yang baharu ini boleh didapati dengan serta-merta manakala pakej jalur lebar oleh TM dijangka dikeluarkan pada pertengahan Jun 2015.

"Dengan pelaksanaan GST ke atas perkhidmatan komunikasi termasuk kad tambah nilai prabayar, pengurangan kos untuk perkhidmatan mudah alih dan tetap pada 14 peratus dan 57 peratus akan mengimbangi GST yang berkaitan dengan perkhidmatan komunikasi,” kata Shabery.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment