Thursday 16 April 2015

Siasatan insiden tanah mendap di Jalan Bukit Bintang sedang dijalankan


Kerja-kerja menimbus lubang dan membaik pulih kawasan siar kaki di Jalan Bukit Bintang telah dijalankan dan laluan itu bakal dibuka semula kepada umum. - Foto sumber MRT Corp

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah memulakan siasatan mengenai insiden paip air yang pecah hingga menyebabkan tanah mendap dan berlubang di siar kaki Jalan Bukit Bintang.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp Mahmood Abdul Razak berkata siasatan dijalankan segera selepas insiden dilaporkan kira-kira jam 6 pagi tadi.

“Kami tidak boleh beritahu berapa lama siasatan akan dijalankan. Bagaimanapun, jurutera kami dan juga kontraktor kerja bawah tanah, MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd, sudah berada di lokasi kejadian,” katanya.

Siasatan awal mendapati paip air di bawah laluan siar kaki Jalan Bukit Bintang berdekatan persimpangan Jalan Imbi telah bocor, lalu mengakibatkan tanah mendap dan berlubang.

Sebuah pos pengawal milik pengedar kereta juga rosak akibat terbenam dalam lubang tersebut.
.
Mahmood berkata MRT Corp dan MMC Gamuda telah menjalankan kerja-kerja membaik pulih kawasan siar kaki dan membuka semula laluan itu dengan segera selepas ia ditutup sejak pagi.

“Kontraktor kami telah mengepam keluar air dari lubang tersebut bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dijalankan. Selepas itu barulah lubang tersebut diisi semula,” jelasnya yang menambah jalan itu terpaksa ditutup selama 48 jam untuk kerja-kerja berkenaan siap.

Rentangan 100 meter Jalan Bukit Bintang antara persimpangan Jalan Imbi dan pusat beli=-belah Pavilion ditutup sejurus kejadian tanah mendap itu dilaporkan pagi tadi, sementara lalu lintas dari Jalan Tun Razak menghala ke Pavilion dialihkan ke Jalan Imbi.

“Kami mohon maaf atas ketidakselesaan pengguna jalan raya dan mereka yang bekerja di kawasan sekitar disebabkan kejadian ini. Kami mohon agar orang awam bersabar sementara situasi ditangani," kara Mahmood.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment