Monday 1 June 2015

Nadiya mahu pecah tradisi

Nadiya Nisaa

SEJAK mencipta nama menerusi drama bersiri Adam & Hawa, aktres berbakat besar, Nadiya Nisaa atau nama sebenarnya, Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin, 28, semakin banyak menerima tawaran lakonan.

Selain sering muncul di kaca TV, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem menerusi filem Cun pada Anugerah Skrin tahun lalu ini ini juga dihujani tawaran berlakon filem.

Namun dalam kerancakannya berkarya, akui Nadiya dia mahu mencuba sesuatu yang baru terutamanya untuk membawakan sesuatu watak yang lebih dominan dengan jantina.

Akui Nadiya, dia begitu menginginkan untuk membawa watak ahli sukan.

Walaupun berbadan kecil, dia amat mengharap suatu hari nanti diberi peluang oleh mana-mana pengarah untuk membawakan watak yang lebih dominan dengan lelaki itu kepadanya.

“Saya mengimpikan untuk menjadi ahli sukan walaupun hanya di dalam lakonan kerana saya suka cabaran ketika proses latihan yang perlukan stamina dan kesabaran.

“Tambahan watak sukan sering diberikan kepada pelakon lelaki, justeru saya mahu mencuba watak sedemikian.

“Jika boleh saya berkeinginan untuk menjadi watak atlet memanah dan apa sahaja sukan seni mempertahankan diri,” katanya ketika ditemui Zass baru-baru ini.

Menurut ibu kepada Omar, 5, ini watak sebagai ahli sukan bukan sahaja mencabar dirinya tetapi juga menggambarkan semangat kenegaraan ‘nasionalisme’.

“Memegang watak ahli sukan juga boleh menimbulkan semangat nasionalisme dalam diri dan filem tersebut.

“Kerana apabila ada aktiviti berkaitan sukan selalu kita kaitkan dengan semangat kenegerian atau kenegaraan,” katanya.

Dalam pada itu, Nadiya memberitahu, dia turut teringin membintangi filem muzikal. Sebagai permulaan, dia kini meneliti setiap tawaran lakonan dan mengkaji naskhah- naskhah yang dapat memberikan kepuasan dan hakikat perjuangan sebagai seorang anak seni.

“Sejujurnya saya sedang menunggu skrip muzikal seperti Moulin Rouge. Tak perlu menyanyi sepanjang masa, tapi ada elemen muzik dalam filem tersebut.
“Muzik dan filem tak boleh dipisahkan.

Malah muziklah yang menjadi rujukan untuk sesebuah filem muzikal yang baik,” katanya yang mahu merealisasikan dua perkara itu untuk terus bertahan di persada seni.

Perkenal 'Norma'

Sementara itu, aktres berusia 29 tahun ini juga sempat berkongsi perkembangan terbaharunya yang bakal tampil dengan perniagaan atas talian.

Menurut Nadiya, perniagaan yang diberi nama Norma, sempena nama ibunya akan menjual pelbagai jenis batik.

“Memang kini saya sedang menjalankan perniagaan dalam talian yang lebih kepada batik kerana saya memang sukakan batik. Tetapi kini masih dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Ia akan dibuka secara kecil-kecilan terlebih dahulu. Baru mencuba di pasaran untuk mengetahui cita rasa dan hasilnya daripada pengguna.

"Jika permintaan banyak, saya akan buka kepada pemborong. Perniagaan ini menggunakan nama ‘Norma’ iaitu sempena nama ibu saya,” katanya.

Tambahnya, sememangnya bagi pelakon, bukan selamanya mendapat peluang untuk memainkan watak utama dalam sesebuah drama atau filem.

“Sekiranya sudah menginjak umur 40-an, pastinya sukar untuk membawakan watak utama. Justeru memulakan langkah baharu dalam dunia perniagaan adalah salah satu cara mendapat pendapatan sampingan.

“Lagipun ramai juga selebriti telah membuka perniagaan dan begitu juga dengan saya yang sedang menjalankan perniagaan lebih kepada fesyen baju.

“Ada rekaan baju diadaptasi daripada lukisan objek yang dilakar oleh kakak saya kepada busana, ia sangat menarik,” katanya.

Hasrat terlaksana

Dalam pada itu, berkongsi perihal perjalanan kariernya, Nadiya berkata, dia kini baharu selesai menjalani penggambaran filem Redha – Beutiful Pain arahan Tengku Mona Riza yang berkemungkinan akan menemui penonton tahun depan.

Ujar Nadiya, peluang bekerja di bawah arahan wanita ini ibarat impian yang menjadi kenyataan.

“Saya memang teringin untuk bekerjasama dengan Tengku Mona sebelum ini kerana dia popular dengan filem kekeluargaan. Dan paling penting saya mendapat pengalaman baharu apabila bekerja dengannya.

"Walaupun ada antara pelakon mengeluh apabila Tengku Mona suka berulang kali melakukan penggambaran babak sehingga puas hati dengan babak yang mahu dijayakan, tetapi saya tidak kisah,” katanya.

Memegang watak sebagai Shasha yang mempunyai anak saudara yang mempunyai masalah autisme bernama, Daniel, Nadiya berkata, watak tersebut sedikit sebanyak memberi cabaran kepadanya.

“Memang watak saya berlainan kerana berhadapan dengan kanak-kanak autisme yang perlukan kesabaran yang tinggi untuk menguruskan kanak-kanak seperti ini. Terutama dalam dunia realiti,” katanya yang akan berehat seketika sebelum menerima tawaran baharu.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment