Monday 1 June 2015

1MDB : Hishamuddin setuju gesaan Najib tetapi dengan bersyarat

Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein hari ini bersetuju dengan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta mana-mana anggota Kabinet letak jawatan jika tidak bersama pulihkan 1MDB. 

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein hari ini bersetuju dengan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengannya dalam usaha pemulihan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) supaya meletakkan jawatan.

Hishamuddin bagaimanapun dalam satu tweet berbalas kepada akaun Twitter Astro AWANI pada hari ini berkata, persetujuan kepada gesaan perletakan jawatan bagi ahli-ahli Kabinet itu adalah dengan bersyarat.

Antara syarat beliau adalah syarikat pelaburan milik Kementerian Kewangan perlu dirasionalisasikan dan perlu ada akauntabiliti jika terdapat apa-apa salah laku.

Selain itu, beliau juga berkata perlu ada ketelusan dalam proses rasionalisasi dan akauntabiliti syarikat 1MDB itu.

Sebelum ini dalam satu akhbar tempatan melaporkan Najib meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengan beliau dalam isu 1MDB untuk meletakkan jawatan.

Menurut akhbar tersebut, kenyataan Najib itu dibuat semasa mesyuarat Kabinet Jumaat lalu selepas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada semua anggota Kabinet.

Dalam pembentangan itu, Husni memaklumkan International Petroleum Investment Company (IPIC) akan memperuntukkan sebanyak AS$1 bilion (RM3.66 bilion) kepada 1MDB bagi tujuan melangsaikan hutang berjumlah AS$975 juta (RM3.57 bilion) kepada sindiket peminjam bank antarabangsa.

Menurut beliau, 1MDB memeterai satu perjanjian ikatan dengan IPIC dan anak syarikatnya, Aabar Investments di mana IPIC akan membuat bayaran tersebut kepada 1MDB pada atau sebelum 4 Jun 2015.

Terdahulu, Ahli veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah minggu lalu juga berpendapat seluruh anggota Kabinet seharusnya memikul tanggungjawab bersama dalam berhadapan isu 1MDB dan tidak membiarkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menghadapinya secara berseorangan.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment