Sunday 3 May 2015

McLaren 540C Coupe janjikan prestasi terbaik - RM504,340


Pada pameran Auto Shanghai 2015 yang telah berlangsung pada 20 hingga 29 April 2015 yang lalu, McLaren telah memperkenalkan model terbaharu mereka iaitu McLaren 540C Coupe. Dengan pelancaran model terbaharu ini, bermakna pada tahun 2015 ini sahaja, McLaren telah melancarkan sebanyak empat model baharu. 

Model McLaren paling mampu milik ini boleh dimiliki dengan harga bermula dari £126,000 (lebih kurang RM504,340, sebelum cukai).


Kerangka

Model 540C Coupe telah direka dengan ciri-ciri kereta sports sebenar seperti kerangka gentian karbon yang ringan dan kuat serta pembangunan teknologi daripada dunia perlumbaan. 

Kerangka gentian karbon unik rekaan McLaren ini yang dikenali sebagai MonoCell ll telah direka dengan teliti bagi memudahkan kereta ini digunakan untuk kegunaan harian dan bagi melindungi keselamatan pemandu dan penumpang. Kerangka gentian karbon dan kerangka luar badan (body panel) kereta ini yang diperbuat daripada aluminium mempunyai berat hanya keseluruhan 1311kg.


Enjin

Kereta ini dijana oleh enjin 3.8 liter V8 turbo berkembar yang menghasilkan 533hp pada 7,500rpm dan tork sebanyak 540Nm pada 3,500rpm hingga 6,500rpm. Enjin ini disambungkan kepada kotak gear 7 kelajuan klac berkembar (McLaren memanggilnya SSG ataupun Seamless Shift Gearbox) dengan pacuan roda belakang. Ia mampu memacu kereta ini ke kelajuan 100km/j dalam masa 3.5 saat dan 200km/j dalam masa 10.5 saat dan mampu mencecah kelajuan maksimum 320km/j.

Ampaian

Oleh kerana kereta ini direka untuk kegunaan harian, para jurutera di McLaren telah mencipta sistem ampaian/suspensi baharu yang bukan sahaja memberi keselesaan ketika pemanduan di jalan biasa, tetapi ia juga mampu memberi prestasi yang baik ketika pemanduan di litar. Sistem ini menggunakan teknologi ampaian Formula-1 – dual wishbone dan ‘Independent Adaptive Damper’. 

Sistem ‘Independent Adaptive Damper’ ini telah ditala supaya ia mampu digunakan di dalam mode pemaduan ‘Normal’, ‘Sport’ dan ‘Track’. Jadi pemilik kereta ini boleh memulakan pagi dengan memandu kereta ini ke pasar dan kemudian pergi berseronok di litar sesudah pulang dari pasar.


Kabin

Ruang dalaman kereta ini dibaluti dengan kemasan kulit mewah sebagai ciri standard. Apa yang menarik ialah ruang konsol tengah yang dipasang dengan skrin sesentuh IRIS bersaiz 7 inci dan ianya dikenali sebagai ‘floating center’. 

Skrin sesentuh ini mengawal keseluruhan sistem hiburan kereta di samping kawalan pendingin udara. Ianya turut dilengkapi dengan ciri navigasi satelit, Bluetooth sambungan internet, DAB digital audio dan kawalan suara.

- Sumber: Astro Publication 

No comments:

Post a Comment