Sunday 3 May 2015

Kemalangan Duke: Siasatan akan dijalankan secara telus dan tanpa prejudis - Polis

Siasatan kes kemalangan di Lebuhraya DUKE akan dilakukan dengan telus tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

KUALA LUMPUR: Polis Trafik Kuala Lumpur memberi jaminan bahawa siasatan kes kemalangan di Lebuhraya DUKE pada 2 Mei akan dijalankan secara telus tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kemalangan itu.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, SAC Datuk Mohd Fuad bin Abd Latiff yang berkata Cawangan Trafik Kuala Lumpur telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebaik sahaja menerima laporan mengenai kemalangan tersebut.

“Pihak yang didapati cuai sehingga menyebabkan kemalangan berlaku akan tetap dibawa ke mahkamah
untuk didakwa.

Dari siasatan awal mendapati sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero Sports dan dua buah kenderaan jenis Perodua MyVi terlibat dalam kemalangan ini,” kata Mohd Fuad dalam satu kenyataan.

Tambahnya, polis telah menahan seorang lelaki Melayu berusia 31 tahun dan seorang wanita Melayu berumur 35 tahun yang terbabit dalam kejadian kemalangan maut ini.

“Mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis dan dikehendaki lapor semula ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dalam masa dua minggu ini,” katanya.

Pihak polis merayu orang ramai yang menyaksikan kemalangan ini supaya tampil membantu dalam siasatan polis.

Beliau turut menyeru orang ramai dan juga media supaya menghentikan sebarang spekulasi kerana ia boleh menjejaskan siasatan polis dalam usaha untuk mendapatkan kebenaran. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment