Monday 27 April 2015

Tunggu kebenaran guna ruang udara India

Pasukan keselamatan dan orang ramai mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam sisa runtuhan menara Dharahara di Kathmandu, semalam. Foto: AFP

KUALA LUMPUR - Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) kini sedang menunggu kebenaran untuk menggunakan ruang udara India bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi yang melanda Nepal kelmarin.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, pihaknya kini sedang menunggu kebenaran daripada pihak berkuasa India bagi menggunakan ruang udaranya.

"Buat masa ini kami tidak boleh berangkat ke sana (Nepal) dan masih menunggu 'flight clearance' daripada pihak India. Apabila telah mendapat lampu hijau, maka kami akan bergerak ke sana untuk operasi SAR mangsa gempa selain membawa pulang rakyat Malaysia ke tanah air," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata seramai 30 anggota Smart dan 20 doktor perubatan daripada Mercy Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia akan menyertai misi bantuan berkenaan.

Selain itu, Malaysia turut menghantar peralatan dan bekalan perubatan dengan menggunakan pesawat Charlie 130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya Kathmandu dengan bandar Pokhara pada pukul 2.56 petang (waktu Malaysia).

Setakat ini tragedi gempa bumi paling teruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun itu telah mengorbankan 2,150 orang termasuk 22 pendaki Gunung Everest.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment