Monday 27 April 2015

IS sasar tempat maksiat, bangunan kerajaan

SHAH ALAM – Susulan 12 individu yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan militan IS dan dilaporkan ditahan sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin mendedahkan tempat-tempat maksiat di Lembah Klang menjadi sasaran utama serangan kumpulan tersebut.

Menurutnya, kumpulan tersebut turut mensasarkan bangunan kerajaan di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Saya tidak boleh mendedahkan sasaran secara spesifik. Tapi menjurus kepada tempat-tempat maksiat yang dikatakan maksiatlah dan juga bangunan-bangunan kerajaan yang dikatakan Taghut.

“Termasuklah bangunan-bangunan kerajaan, jabatan-jabatan kerajaan di Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Taklimat Eksekutif Ancaman IS anjuran Jabatan Agama Islam Selangor bersama Majlis Keselamatan Negara Selangor, di sini, hari ini.

Semalam, 12 individu berusia antara 17 hingga 41 tahun ditahan selepas dipercayai merancang melakukan serangan ke atas lokasi strategik dan berkepentingan di sekitar Lembah Klang dan rancangan tersebut dibuat sebagai menyahut seruan pemimpin kanan IS di Syria.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu kawalan dan pemantauan ke atas bangunan-bangunan kerajaan telah diperketat.

Dalam pada itu, beliau menafikan penglibatan kakitangan awam dalam kumpulan yang ditahan tersebut.

“Tak ada penjawat awam. Ada yang bekerja sendiri, ahli perniagaan, penganggur, pelajar. Siasatan awal, setakat ini tidak ada yang pernah berlepas ke IS. Tapi siasatan sedang berjalanlah,” katanya.

Beliau sempat menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan ancaman seumpama itu kerana langkah-langkah pencegahan telah diambil pihak berkuasa.

“Saya rasa ancaman IS ini bukan sahaja di Malaysia. Di seluruh dunia pun ada ancaman IS. Kadang kala ada serangan.

“Jangan bimbang kita sudah mengambil langkah-langkah proaktif...langkah-langkah pencegahan. Saya yakin kita mampu menangani ancaman-ancaman. Jangan bimbang,” katanya.

Kesemua yang ditangkap disyaki melakukan kesalahan di bawah bab Via-kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Untuk rekod, setakat ini 107 suspek telah ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment