Monday 27 April 2015

Dua bayi dipercayai kena dera

Siti Norazila dan suaminya, Muhammad Izzat Emir Md Rahim, 30, menuntut jenazah bayi mereka di Jabatan Forensik HRPB untuk dikebumikan di Lumut, semalam.

Bayi Siti Norazila dan Muhammad Izzat Emir disahkan meninggal dunia kelmarin.

IPOH - Suasana pilu menyelubungi unit rawatan rapi (ICU) apabila seorang wanita mendukung bayi lelakinya yang berusia enam bulan sambil membacakan surah Yasin sebelum mesin bantuan pernafasan kanak-kanak itu dihentikan.

Siti Norazila Onn, 32, berkata, dia reda dengan keputusan itu memandangkan harapan untuk anak bongsunya itu untuk hidup amat tipis.

“Tidak mampu lihat adik menderita dan terseksa, kami putuskan untuk hentikan bantuan mesin pernafasan setelah harapan untuknya hidup sangat tipis,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Bayi malang tersebut disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 11.50 malam kelmarin, setelah empat hari koma dipercayai akibat didera oleh pengasuhnya, Rabu lalu di Manjung.

Kanak-kanak malang itu mengalami retak tulang di belakang kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi serta mengalami gegaran otak yang menyebabkan pendarahan serius sebelum dimasukkan ke HRPB.

Siti Norazila berkata, setiap hari dia akan menghantar bayinya itu dan anak sulungnya yang berusia 18 bulan ke rumah pengasuh berusia 26 tahun terbabit sejak dua bulan lalu.

“Pada kira-kira 4.30 petang, saya terima panggilan yang memberitahu anak dimasukkan ke hospital kerana mengalami sawan. Ketika tiba di hospital, keadaan bayi saya semakin kritikal apabila dia diserang sawan banyak kali sehingga perlu dirujuk ke Hospital Seri Manjung.

“Bagaimanapun pemeriksaan rapi mendapati anak saya mengalami kecederaan serius di kepala. Pengasuh sempat beritahu bahawa keadaan itu berlaku apabila abangnya menarik adik sehingga jatuh dari tilam,” katanya.

Dia mendakwa, kenyataan itu tidak konsisten dengan kesan kecederaan dialami bayinya. Mangsa dihantar ke HRPB dengan menaiki helikopter untuk rawatan segera.

“Setelah selamat menjalani pembedahan, doktor menyatakan anak saya tiada harapan untuk terus hidup dengan sel otaknya telah mati dan jantung berhenti beberapa kali sehingga dia terpaksa guna mesin bantuan pernafasan.

“Memikirkan kembali sepanjang dua bulan di bawah penjagaan pengasuh, ada beberapa kali anak saya lebam-lebam di beberapa bahagian badan namun saya maafkan kerana dia (pengasuh) jujur beritahu sama ada disebabkan terjatuh dan sebagainya,” katanya.

Siti Norazila berkata, pengasuh terbabit dikenalinya menerusi laman sosial, Facebook.

Katanya, sebelum ini dia tidak mengesyaki wanita itu berikutan perwatakannya yang jujur, malah wanita itu sering memaklumkan perkembangan dan aktiviti anak-anak di bawah jagaannya dari semasa ke semasa.

“Dia nampak bersungguh-sungguh mahu menjaga anak saya walaupun dia sudah jaga dua anak jiran yang masih bersekolah selain anaknya berusia lima tahun.

“Malah, dia pernah merayu minta saya tidak buat laporan polis sebelum ini semasa anak saya alami pendarahan di telinga. Bagaimanapun, setelah jadi begini, saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini anak sulungnya akan diletakkan di bawah jagaan keluarganya berikutan trauma dengan kejadian menimpa anak bongsunya itu.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang Tembak, Teluk Muroh, Lumut, petang semalam.

Mengulas mengenai kejadian itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisoner Tengku Mohd Zailan Tengku Mohd Shah berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa cedera akibat kemalangan.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada wujud unsur kecuaian dalam kejadian itu.

“Kejadian itu bukan disebabkan penderaan oleh pengasuh malah, tanda pada bayi (lebam) disebabkan jatuh dari tempat tidur berikutan ditarik oleh abangnya.

“Keterangan pengasuh sudah diambil sejurus laporan polis dibuat dan keterangan ibu bapa juga akan diambil dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu di Medan Klebang Prima, seorang lagi bayi berusia enam bulan koma selepas mengalami pendarahan otak ketika dalam jagaan seorang pengasuh, Khamis lalu.

Menurutnya sumber, kanak-kanak itu kini masih dirawat di HRPB setelah menjalani pembedahan dan kini bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Beliau berkata, bayi lelaki berkenaan dipercayai mengalami kecederaan yang menunjukkan sindrom goncang bayi.

"Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, penjaga mangsa, seorang wanita warga Indonesia yang merupakan seorang peniaga menerima panggilan daripada pengasuh, memaklumkan anak angkatnya lemah dan tidak sedarkan diri.

“Penjaga terbabit segera ke rumah pengasuh terbabit untuk melihat bayi berkenaan dan kemudian menghantar kanak-kanak itu ke HRPB untuk rawatan,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, keluarga bayi berkenaan menyerahkan mangsa kepada penjaga berkenaan sejak lahir untuk dijadikan anak angkat.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat pendarahan pada otak mangsa namun tiada kecederaan lain pada tubuhnya.

“Punca sebenar pendarahan otak itu masih tidak dapat dipastikan namun, ia dipercayai disebabkan oleh goncangan kuat namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment