Monday 27 April 2015

Pertimbangkan 4 perkara sebelum beli Apple Watch

APPLE Watch dipamerkan pada sebuah kedai di Tokyo, Jepun. - Foto AFP

APPLE Watch sudah rasmi dijual di pasaran walaupun bagi peminat Apple di Malaysia terpaksa menunggu terlebih dulu untuk mendapatkan jam tangan pintar keluaran Apple ini. 

Peranti itu sudah boleh dibeli di sembilan negara iaitu Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada, China, Perancis, Jerman, Hong Kong, Jepun dan United Kingdom mulai 24 April lalu pada harga dari AS$349 (RM1,273) manakala varian dengan kemasan emas pada AS$10,000 (RM36,468) seunit. 

Melihat kepada harganya memang agak tinggi tetapi bagi peminat Apple, ini adalah harga yang perlu dibayar oleh mereka untuk mendapatkan satu teknologi terbaru. 

Tetapi bagi anda yang sedang berkira-kira untuk membeli jam tangan pintar ini, fikirkan semula adakah anda benar-benar mahukannya atau sekadar ingin mengikut trend semasa. Ini empat perbandingan yang perlu anda kaji sebelum membeli peranti pintar ini.

1. Jika anda menginginkan sebuah jam tangan pintar yang boleh bersambung dengan telefon pintar anda, jawapannya Apple Watch bukan satu-satunya peranti yang boleh berbuat demikian. 

Android sudah terlebih dulu melakukan perkara ini melalui sistem operasi mereka yang dinamakan Android Wear. Malah jam tangan pintar dari Pebble juga sudah tersedia malah boleh disambungkan kepada telefon pintar dengan sangat mudah. 

Anda hanya perlu menyama gerak jam tangan pintar dengan telefon pintar melalui sambungan Bluetooth tidak kira yang menggunakan sistem operasi iOS ataupun Android. 

2. Apple Watch turut mempunyai fungsi yang boleh dijadikan sebagai penjaga kecergasan. Mulai daripada denyut jantung, jarak berlari, dan kalori yang hilang. Namun sekali lagi perkara ini turut terdapat di beberapa jam pintar Android seperti Moto 360 dari Motorola yang harganya tidak sampai RM1,000. 

Jika anda hanya ingin mencari alat untuk digunakan ketika sedang bersukan, maka peranti Fitbit Flex mungkin boleh dipertimbangkan kerana ia khusus untuk penjaga kecergasan. Tapi satu yang kurangnya mengenai Fitbit Flex, ia tidak mempunyai pembaca denyutan jantung.

3. Apple Watch sebagai alat pembayaran dengan fungsi Apple Pay Devices. Ketika Apple memperkenalkan iPhone 6 dan iPhone 6 Plus, syarikat juga memperkenalkan suatu sistem pembayaran menggunakan peranti telefon yang dinamakan Apple Pay. Kini fungsi tersebut turut terdapat di Apple Watch. 

Bagi anda yang sudah menggunakan Apple Pay sebelumnya, hanya perlu mendekatkan Apple Watch ke alat pembayaran untuk tujuan pembayaran.

Fungsi pembayaran online ini memang masih asing di negara kita namun sebagai perbandingan terdapat beberapa pilihan jam tangan pintar yang menggunakan Android Wear dari Google yang mempunyai hubungan dengan Google Wallet.

4. Apple Watch sebagai alat -  menjadikan peranti ini jauh berbeza dengan pesaingnya. Apple memberi suatu cara baharu untuk berkomunikasi yang dinamakan Digital Touch. Melalui fungsi ini, anda boleh mengirim pesanan dengan cara yang lebih personal seperti sebuah coretan di skrin Apple Watch. 

Selain itu dengan fungsi Digital Touch, anda hanya perlu sentuh skrin Apple Watch, dan seketika pasangan anda akan mendapat pesanan seperti getaran. Ketika ini masih belum ada jam pintar yang mampu melakukan hal serupa seperti yang ditawarkan Apple Watch ini.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment