Monday 27 April 2015

Polis buru saki baki ahli yang ditahan semalam

Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA - Polis kini memburu saki baki ahli kumpulan 12 individu yang ditahan di Hulu Langat dan Cheras semalam bagi melumpuhkan sepenuhnya gerakan kumpulan itu untuk melakukan serangan di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, nama dan jumlah mereka yang dipercayai ahli kumpulan pengganas IS itu sudah berada di tangan polis dan pasukan keselamatan sedang menjejaki mereka.

"Kami masih memburu dan sangat serius dalam menjejaki mereka...saya yakin polis boleh mengesan dan dapatkan individu terbabit walau di mana mereka berada.

"Selain memantau pintu masuk dan keluar melalui jalan udara, polis juga menjejaki 'lorong-lorong tikus' meliputi laluan darat dan laut termasuk mengesan perbualan atau komunikasi mereka dalam media sosial," katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia Vicky Treadell di pejabatnya di sini. 

Kumpulan lelaki berusia antara 17 dan 41 tahun itu ditahan anggota Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman dalam satu operasi khas.

Polis turut menemui peralatan dan bahan untuk menghasilkan bahan letupan.

Siasatan lanjut mendapati kumpulan itu sedang merancang melancarkan serangan ke atas sasaran-sasaran strategik dan berkepentingan kerajaan di sekitar Lembah Klang. 

Ahmad Zahid berkata walaupun kumpulan berkenaan tidak pernah ke Syria atau Iraq, namun tindakan itu menunjukkan mereka mempunyai rangkaian dan bersedia melakukan kegiatan keganasan dan aktiviti yang negatif kepada negara. 

Kumpulan itu bukan sahaja berlatih membuat bom tetapi turut menjalankan uji kaji terhadap bahan letupan yang dibuat dan jika tidak dicegah, tentunya akan mendatangkan ancaman lebih besar kepada sasaran-sasaran yang telah ditentukan mereka, katanya. 

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Dalam Negeri telah menerima cadangan daripada tujuh syarikat berhubung pembinaan tembok sepanjang 1,763 kilometer dari Kelantan hingga Perlis. 

Katanya, pembinaan itu perlu disegerakan bagi menambah elemen keselamatan kerana adalah mustahil jika 'hanya orang atau anggota' sahaja yang bertugas menjaga sempadan daripada dibolosi. 

Bagaimanapun, setakat ini kami belum mendapat kata putus daripada Kementerian Kewangan untuk penyediaan belanjawan berkenaan, katanya tanpa mendedahkan nama syarikat dan spesifikasi binaan. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment