Friday, 3 April 2015

Ramona Zamzam nikah 1 Mei bukan 15 Mei

Ramona Zamzam bersama bakal suaminya Rami Alaskhar. - Foto ihsan Ramona

KUALA LUMPUR: Sedari kecil pelakon Ramona Zamzam atau nama sebenarnya, Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam secara peribadi mengakui lebih tertarik dengan lelaki asing berbanding lelaki Melayu. Siapa sangka kecenderungan atau pilihan dia itu akhirnya akan jadi kenyataan. 

Pemenang tempat keempat pertandingan Dewi Remaja seangkatan dengan Neelofa, Izara Aishah dan Anzalna itu akan melangsungkan pernikahan pada 1 Mei depan dengan jejaka dari Palestin yang tinggal di Malaysia, Rami Alashkar. 

Beberapa laporan sebelum ini menyebut tarikh 15 Mei akan menjadi saksi penyatuan hatinya dengan Rami sekali gus sama tarikh dengan majlis pernikahan Lana Nodin dan Mohd Daud McKienzie. 

Ketika ini, majlis pernikahan itu dirancang akan diadakan di Masjid Wilayah. Mengikut Ramona berkemungkinan ada penukaran lokasi pernikahan kerana belum ada pengesahan lagi setakat ini. Ikuti komen Ramona kepada BH Online. 

"Ya, saya akan bernikah pada 1 Mei depan iaitu pada hari cuti umum yakni Hari Pekerja. Jelas tarikh nikah saya tidak bertindan dengan majlis nikah Lana. Maka tiada masalah di situ," ungkap Ramona menjelaskan kekeliruan mengenai tarikh pernikahannya. 

Mengikut Ramona, perancangan asalnya memang tiada majlis pertunangan dan hanya mahu terus nikah. Bagaimanapun kerana akur dengan permintaan keluarga, majlis pertunangan akan diadakan beberapa jam sebelum pernikahan dimeterai. 

"Ikutkan rimas nak buat banyak majlis. Saya nak majlis nikah sahaja kerana mahu menghalalkan hubungan kami. Itu sudah memadai. Tapi biasalah, saya ini anak sulung dan keluarga, ..mama mahu adakan majlis pertunangan juga. Jadi saya akur," katanya yang turut berkebolehan berbahasa Mandarin kerana bersekolah sejak tadika hingga menengah di sekolah Cina. 

Tambah Ramona lagi, dia dan Rami memutuskan untuk ke fasa perkahwinan sejak setahun lalu. Ironinya, nama Ramona sering terpalit dengan kontroversi sehingga dilabel sebagai perampas. Tak kurang juga dia dikatakan kaki berparti, lesbian, berangan diva dan bersilih ganti menukar teman lelaki.

Beberapa tahun dahulu, namanya pernah dikaitkan menjadi mangsa apabila kekasihnya dirampas seorang lagi pelakon. Pelakon itu kini bahagia dengan perkahwinannya. Malah Ramona turut menjadi mangsa kontroversi hingga dia dituduh rapat dengan pelakon Amar Baharin dan Dazrin.

Ketika timbul gosip itu, Ramona hanya mampu tertawa kerana dia sebenarnya sudah bercinta dengan Rami sejak tiga tahun lalu. 

"Berdasarkan pengalaman lalu, ia banyak mengajar saya untuk tidak terlalu mendedahkan atau berkongsi kisah peribadi. Saya menyembunyikan kisah cinta bersebab dan sengaja buat begitu. Dulu apabila saya mengaku bercinta, orang lebih banyak mengata. Memang dulu dengan bekas cinta pertama dan saya kerap berkongsi di laman sosial, lebih banyak kecaman dan kritikan saya terima. 

"Ada suara sinis mula berkata, ..tak lama putuslah cinta, jumpa yang baru dan bukan nak kahwin pun. Ia jadi seperti doa. Jadi saya putuskan kalau begini jadinya, saya patut simpan saja sisi peribadi (merujuk cintanya terhadap Rami). Selagi tak ada ikatan sah, selagi itu saya tak akan dedah," katanya. 

Cerita Ramona lagi, hubungannya dengan Rami ada juga rakan media yang menghidunya tetapi perkara itu tidak digembar-gemburkan. Sejak setahun lalu, dia ada muat naik gambar berdua di laman Facebook peribadi dan tidak di laman Instagram seperti sebelum ini. 

Dalam pada itu, kata Ramona tidak timbul desakan berkahwin oleh keluarga sebaliknya atas kesepakatan dia dan cinta hati.

Diaju persoalan kenapa dia memilih bukan jejaka Melayu, Ramona menjelaskan pengalaman buruk bercinta dengan lelaki Melayu membuatkan dia serik. 

"Seperti saya katakan dari kecil memang saya lebih gemar lelaki asing. Tapi saya tak pernah tutup hati untuk bercinta dengan lelaki Melayu. Saya cuba tetapi tak jalan juga. Cuma tak diduga aturan hidup, saya dipertemukan dengan Rami yang sangat baik budi pekertinya.

"Saya senang dan tak mahu fikir panjang lagi. Sejujurnya dia lelaki terbaik yang pernah saya temu. Dia paling menyenangkan hidup dan tak bagi masalah. Banyak sebab saya pilih dia dan saya bersyukur atas semua ini," kata Ramona yang mula menceburi bidang seni sejak usia 14 tahun dengan membintangi filem Castello tetapi disebabkan tumpuan kepada pengajian Diploma Pentadbiran lalu dia memilih untuk tidak menjadikan bidang seni sebagai sepenuh masa ketika itu.

Mengenai Rami, Ramona menyifatkan lelaki itu cukup sempurna di matanya. 

"Hubungan kami ini antara yang paling tak memberikan masalah kepada saya. Kami payah nak bergaduh dan dia tahu cara nak uruskan saya. Saya ini jenis keras kepala tapi dia cool dan boleh faham personaliti diri. 

"Kalau saya panas, dialah yang menyejukkan saya. Daripada situ saya sedar, dialah calon suami idaman. Kalau lelaki lain barangkali kami sudah bergaduh tetapi dengan dia sebaliknya. Dia boleh pujuk saya hingga hati saya jadi lembut," katanya.

Mengenai impian perkahwinan, Ramona tidak terlalu mendambakan yang ekstravaganza. 

"Cukup ia ringkas dan bermakna. Kalau boleh saya nak gaya klasik Inggeris. Tapi tengoklah keadaan. Untuk sekarang bagi majlis nikah, saya nak pakai pakaian tradisional. Saya nak pakai baju kurung moden dan dia pakai baju Melayu," katanya.

INFO

* Berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan dibesarkan di Ipoh.

* Dilahirkan pada 25 Jun 1990

* Anak sulung daripada dua beradik. Adik perempuannya belajar di tingkatan lima.

* Turut aktif sebagai model komersial


- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment