Friday, 3 April 2015

Asal usul Kampung Sepinang

  •  Asal usul Kampung Sepinang
  • Papan tanda masuk ke Kampung Sepinang.

KAMPUNG Sepinang terletak kira-kira sembilan kilometer dari bandar Segamat masih mengekalkan kawasan penempatan secara warisan dan mempunyai ciri Melayu dalam seni binanya.

Ketua kampungnya, Mohd Taher Ibrahim, 68, berkata, berdasarkan cerita orang tua, Kampung Sepinang dibuka kira-kira 300 tahun dahulu selepas diterokai seorang lelaki keturunan Temenggung dan kemudiannya diperintah seorang raja.

Namun, dia sendiri tidak dapat memastikan kesahihan cerita tersebut kerana telah lama berlaku dan tidak ramai penduduk kampung yang dapat mengingati cerita ini sepenuhnya terutama salasilah keturunan raja tersebut.

“Kampung ini dulu penuh semak dan ketika mula-mula diterokai, ada pokok pinang tunggal ditemui, sejak itu kampung ini dinamakan Kampung Sepinang.

“Ada juga pendapat bahawa kampung ini dinamakan Sepinang sempena nama buah pinang yang ditemui. Variasi lain berdasarkan sebuah sekolah yang dibina berasaskan batang pinang dan dipanggil ‘Sekolah Batang Pinang’ ketika itu,” katanya.

Katanya, berdasarkan penceritaan secara lisan orang-orang tua kampung tersebut, penduduk Kampung Sepinang dahulunya sangat dihormati penduduk kampung lain.

Menurutnya, sebagai contoh, ketika penduduk kampung ini menghadiri kenduri perkahwinan di sesebuah kampung, terdapat balai khas disediakan yang lebih tinggi kedudukannya daripada balai lain.

“Ke mana saja mereka pergi ketika itu, penduduk kampung ini disegani dan dihormati, mungkin sebab ketika itu kampung ini satu-satunya kampung yang diperintah keturunan raja.

“Tapi sampai sekarang tak diketahui kenapa pemerintahan beraja itu lenyap, hanya tinggal kenangan. Asal-usul kampung ini tetap menjadi legenda, begitu juga pemerintahan berajanya yang penuh misteri,” katanya.

Menurutnya, terdapat tiga kampung terdapat di bawah pentadbirannya selain Kampung Sepinang iaitu Kampung Pauh dan Kampung Berangan yang kesemuanya berkeluasan kira-kira 1063.5 hektar.

Di Kampung Sepinang juga terkenal dengan kisah seorang wanita digelar Atuk Bonda.

Menurut Mohd Taher, nama sebenarnya ialah Wan Kundur Wan Abu Bakar dan berasal dari Kampung Belimbing, Pahang.

Menurutnya, orang-orang tua kampung tersebut ketika itu juga tidak mengetahui tujuan dan bagaimana Atuk Bonda sampai ke Segamat dan seterusnya menetap di Kampung Sepinang.

“Atuk Bonda berkahwin dengan penduduk kampung ini. Namun, ketika zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, suaminya ditembak komunis. Sejak itu dia menjadi janda dan membesarkan sendiri anak-anaknya.

“Suatu hari, dia didatangi seorang pemuda meminta tolong, tapi Atuk Bonda menolak sebab tiada siapa akan menjaga anaknya yang masih kecil. Pemuda itu mendesak dan berjanji anaknya akan dijaga orang," katanya.

Dia berkata, akhirnya Atuk Bonda mengalah dan pemuda itu membawanya melalui satu kampung dengan pemandangan indah dan tidak pernah dilaluinya.

"Apabila tiba di rumah pemuda itu, baharu Atuk Bonda mengetahui bahawa isteri pemuda berkenaan sedang menahan sakit untuk bersalin.

"Dari situlah Atuk Bonda mengetahui cara-cara membidankan orang bersalin setelah diajar seorang wanita lain yang turut berada di rumah pemuda tersebut,” katanya.

Mohd Taher berkata, selepas selesai, Atuk Bonda dihantar pulang dan dia melihat anaknya tidur nyenyak seperti ada orang menjaganya.

“Sejak itu, Atuk Bonda membidankan setiap orang yang hendak bersalin di kampung ini. Dia juga dipercayai dikurniakan kebolehan dapat merasakan bila ada orang memerlukan bantuannya.

“Namun, segalanya hanya tinggal sejarah dan kenangan selepas Atuk Bonda meninggal. Kisah pemuda yang meminta pertolongan dan wanita yang mengajarkannya ilmu perbidanan itu juga masih jadi misteri,” katanya.

Tambahnya, Kampung Sepinang kini sudah berubah dengan memiliki kemudahan infrastruktur asas yang lengkap seperti sekolah rendah, sekolah agama, perpustakaan desa dan balairaya untuk kegunaan komuniti.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment