Bapa kanak-kanak itu menunjukkan laporan polis yang telah dibuat di Balai Polis Kuantan.
Beberapa kesan lebam di kaki kiri kanak-kanak berusia lima tahun ini yang didakwa dirotan guru.
KUANTAN – Bukan sahaja trauma, malah seorang murid prasekolah di sini turut demam apabila didakwa dirotan guru pada 30 Mac lalu.
Bapa kanak-kanak berusia 26 tahun berkata, anaknya yang berumur lima tahun itu kini enggan ke sekolah kerana takut dirotan oleh gurunya lagi.
Menurutnya, paha dan kaki anaknya itu lebam serta berbirat menyebabkan dia tidak mahu bercakap dengan orang lain kecuali ahli keluarga sahaja.
“Saya bukanlah seorang bapa yang cerewet, saya tidak kisah jika cikgu mahu merotan anak saya kerana dia nakal di sekolah.
“Tetapi, melihat keadaan lebam di kaki anak saya ini, saya terkejut kerana mungkin dia telah dirotan dengan kuat sehingga meninggalkan kesan lebam di kaki dan paha. Anak saya juga menangis setiap kali diajak ke sekolah,” katanya.
Bapa kanak-kanak itu berkata, anaknya mendakwa dia dirotan dengan pembaris panjang gara-gara keluar bermain di luar kelas tanpa kebenaran guru.
“Selepas kejadian pada pagi 30 Mac itu, saya datang semula ke sekolah pada sebelah petang dan meminta penjelasan daripada guru besar.
“Bagaimanapun, alasan yang diberikan guru tersebut tidak masuk akal kerana mengatakan kulit budak seperti anak saya ini jika dipukul perlahan sekalipun akan meninggalkan kesan seumpama itu.
“Lebih terkilan apabila beliau berkata perkara itu kecil sahaja dan tidak perlu diperbesarkan,” katanya.
Bagaimanapun, bapa kanak-kanak itu telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Kuantan dan mahu guru yang bertindak merotan anaknya itu dikenakan hukuman setimpal.
“Saya sendiri tidak pernah merotan anak saya apatah lagi dengan meninggalkan kesan lebam seperti itu. Kali ini anak saya dirotan, mungkin esok lusa, ada lagi murid yang kena tindakan yang sama atas kesalahan yang tidak seberapa.
“Di mana etika sebagai seorang guru lebih-lebih lagi guru pra sekolah yang sememangnya sudah sedia maklum dengan perangai budak berumur lima tahun ini,” katanya.
Dia juga sudah membuat pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan telah dimaklumkan bahawa anaknya itu telah dipukul dengan objek keras sehingga meninggalkan beberapa kesan lebam di kaki.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment