Friday, 3 April 2015

Jadi yatim piatu sekelip mata

Nur Irriesya Nellydia yang masih tidak mengetahui apa-apa sudah kehilangan kedua ibu bapanya.

MUAR - Seorang kanak-kanak berusia dua tahun menjadi yatim piatu sekelip mata apabila kedua ibu bapanya maut dalam kemalangan ngeri yang membabitkan sebuah kereta dengan lori di Kilometer 138 Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Bandar Muadzam Shah, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mengorbankan kedua ibu bapa kanak-kanak malang terbabit, Rohaizan Paimon, 38, Sallyza Hakim Lokma Nulhakim, 32 serta dua adik beradiknya, Nur Allysha Adrieanna Hakim Rohaizan, 6 dan Muhammad Nur Orfan Danish Hakim Rohaizan, 4, akibat cedera parah di kepala dan badan.

Nur Irriesya Nellydia Hakim terselamat kerana telah dihantar pulang ke kampung di Parit Beting, Jalan Salleh, di sini oleh Rohaizan dan Sallyza bersama dua anaknya yang lain sebelum kesemuanya terbabit dalam nahas tersebut.

Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Beting ketika empat jenazah itu disemadikan dalam satu liang lahat, kira-kira jam 3 pagi, semalam yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman ibu bapa Sallyza.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kebumi dalam satu liang lahad]

Sepupu yang enggan dikenali berkata, kepulangan mereka pada kali ini kerana menghantar anak bongsu mereka, Nur Irresya Nellydia Hakim atau panggilan manjanya Nelly ke kampung sebagai persediaan Sallyza yang sedang sarat mengandung tujuh bulan melahirkan anak keempat dua bulan lagi.

Menurutnya, mereka sekeluarga tiba di Parit Beting, jam 8 malam (Isnin) dan bertolak pulang semula ke Kuantan kira-kira jam 12.30 pagi (Selasa).

“Namun, mereka agak tergesa-gesa mahu pulang kerana suami Sallyza yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat perkapalan di Kuantan perlu bertugas pada keesokan harinya (kelmarin).

“Keluarga ada nasihat Rohaizan supaya pulang keesokkan harinya atas faktor keselamatan tetapi Allahyarham tetap bertegas mahu pulang malam itu,” katanya.

Jiran bersebelahan rumah ibu bapa mangsa, Amaludin Rahim,21, berkata, dia terkejut dan sedih mendapat tahu tragedi yang menimpa Sallyza sekeluarga, kira-kira jam 10 pagi ketika sedang berehat di kampus Politeknik Merlimau, Melaka.

“Saya amat terasa kehilangan kerana mempunyai hubungan rapat dengan keluarga awrah terutamanya Sallayza yang dipanggil ‘kak long’ dan tiga anaknya.

“Setiap kali cuti semester pasti akan meluangkan masa dengan anak-anak arwah jika mereka pulang ke kampung, namun saya redha dengan pemergian mereka,” katanya.

Dalam kejadian Selasa lalu, kereta Proton Waja yang dipandu Rohaizan yang dalam perjalanan dari arah Segamat menghala Kuantan dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan semasa melalui jalan berselekoh serta menuruni anak bukit.

Ekoran itu, kereta mangsa telah bertembung dengan sebuah lori menyebabkan mereka meninggal dunia di tempat kejadian. Empat beranak yang maut dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment