Friday 3 April 2015

Pelampau Somalia bunuh 147 pelajar universiti Kenya



TENTERA Kenya dan pasukan penyelamat bergegas mengeluarkan pelajar dari Universiti Garissa selepas tamatnya pertempuran yang menyebabkan 147 kematian. - EPA

GARISSA, Kenya: Empat lelaki bertopeng dipercayai daripada kumpulan pelampau Shebab dari Somalia membunuh sekurang-kurangnya 147 pelajar selepas menyerbu sebuah universiti di negara ini semalam.

Serangan itu adalah yang terburuk di Kenya selepas pengeboman terhadap kedutaan Amerika Syarikat di Nairobi pada 1998 yang menyebabkan 213 orang terbunuh.

Lelaki berkenaan yang lengkap bersenjata dan memakai jaket yang disalut bahan letupan, meletupkan diri selepas serangan selama 16 jam di pusat pengajian tinggi itu berakhir.

Penyerang yang melontarkan berpuluh bom tangan dan menembak daripada senjata automatik, kumpulan lelaki berkenaan menyerbu universiti itu pada waktu subuh dan mula menahan tebusan bukan beragama Islam.

Menteri Dalam Negeri Kenya, Joseph Nkaiserry , berkata sekurang-kurangnya 79 cedera dalam serangan di universiti itu, yang terletak di bandar itu yang tidak jauh dengan sempadan Somalia, negara yang hancur akibat perang saudara.

Nkaiserry berkata, keempat-empat penyerang terbunuh selepas meletupkan diri apabila tentera kerajaan mula menyerbu universiti itu untuk membebaskan tebusan.

Serangan itu diisytiharkan berakhir lewat malam tadi selepas Pusat Bencana Kebangsaan mengesahkan empat penyerang terbunuh dan sejumlah 147 mangsa terkorban walaupun pihak berkuasa menjangka jumlah kematian mungkin meningkat.

Kumpulan Shebab yang dikaitkan dengan Al-Qaeda mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu. Kumpulan sama juga turut membuat serangan terhadap sebuah pasar raya di Nairobi pada September 2013 dan mengorbankan sekurang-kurangnya 67 orang.

Jurucakap Shebab, Sheikh Ali Mohamud Rage memberitahu AFP kumpulan itu menawan tebusan bukan Islam dan misi mereka dalam serangan itu adalah membunuh mereka yang menentang Shebab.

"Kenya sedang berperang dengan Somalia," kata Ali Mohamud merujuk kepada ribuan tentera Kenya di Somalia sebagai sebahagian daripada pasukan pengaman anjuran Kesatuan Afrika.

Dalam pada itu, ganjaran AS$215,000 (RM787,923) ditawarkan untuk penangkapan komander Shebab, Mohamed Mohamud, seorang guru dari Kenya yang kini dipercayai berada di Somalia dan dikatakan menjadi perancang serangan terhadap universiti di bandar ini.

Bandar sempadan ini kira-kira 150 kilometer di barat Somalia dan menjadi sasaran Shebab sejak sekian lama. 

- Sumber: AFP

No comments:

Post a Comment