Friday 3 April 2015

Kerajaan digesa kecualikan tuala wanita daripada GST

Satu kempen secara dalam talian yang dimulakan sejak 20 Mac lepas bagi menggesa tuala wanita dikecualikan daripada CBP dinamakan 'Stop Taxing Women For Their Period'

IPOH: Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang menggesa agar tuala wanita dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang berkuat kuasa pada hari Rabu.

Chua Yee Ling (PKR-Kuala Sepetang) berkata wanita tidak patut dikenakan cukai bagi pembelian produk kebersihan yang membantu dalam keperluan biologi mereka ketika datang haid.

"GST ke atas produk kebersihan wanita telah melanggar hak asasi kami untuk mendapatkan bantuan kebersihan," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih atas titah ucapan perasmian sidang dewan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah semalam .

Beliau berkata demikian ketika menyuarakan impak GST ke atas dirinya sebagai seorang wanita.

Katanya, terdapat satu kempen secara dalam talian yang dimulakan sejak 20 Mac lepas bagi menggesa tuala wanita dikecualikan daripada GST dinamakan 'Stop Taxing Women For Their Period'.

"Maka saya ingin mengesyorkan ahli-ahli Yang Berhormat, tidak kira Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat, tidak kira lelaki atau wanita, sama-sama kita menyokong petisyen dalam talian ini dan saya juga mengesyorkan supaya Menteri Besar Perak boleh mengemukakan petisyen kerajaan negeri Perak berhubung isu ini," katanya.

Terdahulu, Chua berkata Pakatan Rakyat membantah pelaksanaan GST kerana berpendapat masanya tidak sesuai berikutan kadar gaji yang masih rendah di negara ini.

Beliau berkata Institut Darul Ridzuan yang berperanan sebagai pemikir mengenai haluan dan polisi membangunkan negeri boleh menjalankan kaji selidik berkaitan impak pelaksanaan CBP terhadap rakyat negeri ini.

Katanya, beliau bersetuju dengan cadangan Chang Lih Kang (PKR-Teja) agar sidang tergempar diadakan bagi menangguhkan pelaksanaan GST.

Pada peringkat ini, Datuk Samsudin Abu Hassan (BN-Ayer Kuning) bangun mencelah dan berkata pelaksanaan GST yang menggantikan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) sebenarnya memberi kenikmatan kepada kebanyakan rakyat berikutan pengurangan kadar cukai yang perlu dibayar.

"Persoalannya, sejauh mana pihak peniaga mempunyai jati diri untuk benar-benar melaksanakan tanggungjawab mereka dan tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan ketika CBP mula-mula dilaksanakan.

"Kalau pihak peniaga mengambil tindakan dan peranan sebagaimana yang telah diamanahkan, saya merasakan keluh-kesah orang ramai hari ini tidak akan menampakkan diri apatah lagi mereka dimomokkan oleh perkara-perkara sehingga mereka cemas dan membeli barangan secara panik sebelum 1 April," katanya.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment