Thursday 30 April 2015

Penduduk Kajang protes kehilangan Wan Azizah

Wan Azizah Wan Ismail

KAJANG - Ketika Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sibuk berkempen untuk bertanding PRK Parlimen Permatang Pauh, puluhan penduduk Taman Delima di sini pula berkumpul mempersoalkan khidmat wakil rakyat mereka itu.

Sambil mempertikaikan keupayaan Presiden PKR itu melaksanakan amanah, Bahtiar Mohd Annuar, 44, yang mengetuai piket tersebut berkata 'kehilangan' Dr Wan Azizah ketika mereka dilanda musibah merupakan perkara yang amat menyedihkan dan sukar untuk dimaaf.

"Selasa lepas berlaku ribut, 60 rumah penduduk rosak dengan atap diterbangkan angin dan semalam Kampung Sungai Kantan pula dilanda banjir, tetapi Wan Azizah langsung tidak muncul.

"Ketika penduduk sedang bersedih dengan apa yang berlaku, wakil rakyat yang diharap pula sibuk berceramah dan berkempen untuk dirinya di Permatang Pauh...ini yang kami kesalkan," katanya.

Bercakap bagi pihak 60 keluarga itu, Bahtiar berkata, beliau dan penduduk taman itu berharap Wan Azizah memikirkan kembali sumbangan yang diberikannya selepas memenangi kerusi itu pada Mac tahun lepas. 

Katanya, mereka juga mahu Dr Wan Azizah supaya tidak lagi menjadi 'orang yang menurut' perintah parti dan suami semata-mata sedangkan beliau turut mempunyai tanggungjawab besar menjaga kebajikan penduduk Kajang.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dr Wan Azizah, Suhaimi Sabudin daripada BN, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

- Sumber:  Bernama

No comments:

Post a Comment