Thursday 30 April 2015

Adeline Tsen nafi bercinta dengan Harris Baba

ADELINE (kanan) menjelaskan tiada hubungan istimewa dengan Harris Baba dan mereka hanyalah sekadar teman biasa saja.

KUALA LUMPUR : Pelakon Adeline Tsen mengakui terkejut apabila timbul gosip mengatakan beliau sedang hangat bercinta dengan pendatang baru, Harris Baba. Beliau menjelaskan tiada hubungan istimewa antara mereka dan mereka hanyalah sekadar teman biasa saja.

Bahkan, pelakon berasal dari Sabah ini meminta agar pihak yang memulakan gosip percintaan itu seharusnya bertanyakan kepada beliau terlebih dahulu sebelum terus membuat kesimpulan sendiri.

"Kontroversi yang timbul adalah tidak benar sama sekali kerana kami adalah kawan rapat saja. Malah, saya hanya memuat naik dua keping gambar bersama Harris dan terus dikatakan bercinta.

ADELINE Tsen (kiri) kenal Harris pada tahun lepas melalui Ryzal Jaafar di salah sebuah majlis.

"Kami kenal pada tahun lepas melalui Ryzal Jaafar di satu majlis. Takkanlah setiap kali saya berkawan dengan lelaki saja mesti dikaitkan dengan hubungan cinta.

"Lagipun saya akui mempunyai lebih ramai kawan lelaki dan Harris adalah salah seorang daripada mereka. Namun saya tidak terkesan pun dengan gosip itu kerana saya tahu kebenarannya," kata Adeline kepada BH Online.

Harris yang turut berada di samping Adeline ketika ditemui turut mengiyakan kenyataan yang diberikan oleh rakan artisnya itu. Beliau berpendapat bahawa pendatang baru sepertinya harus fokus kepada kerjaya semata-mata.

Jejaka berusia 24 tahun itu menjelaskan beliau turut menangguhkan pelajarannya di sebuah politeknik di Singapura atas nasihat pihak pengurusannya.

"Fokus saya buat masa ini adalah muzik. Saya pun masih baru dalam industri seni ini malah kumpulan Carla yang menampilkan saya selaku vokalis pun belum diperkenalkan kepada umum lagi.

"Saya juga menangguhkan pelajaran saya dalam bidang kejuruteraan di Singapura untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada bidang nyanyian," kata Harris.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment