Thursday 30 April 2015

Citroen Grand C4 Picasso


NAZA Euro Motors, pengedar rasmi jenama Citroen di Malaysia rasmi melancarkan varian petrol Citroen Grand C4 Picasso. Sebelum ini, Naza Euro Motors membawa masuk versi diesel terlebih dahulu sekitar Oktober tahun lalu dan mendapat respons menggalakkan daripada pengguna.

Citroen Grand C4 Picasso dikuasakan enjin e-THP 165 bersesaran 1.6 liter yang mampu menghasilkan kuasa 165PS dan tork 240Nm.

Bagi penghantaran kuasa yang lancar, MPV (kenderaan pelbagai guna) Perancis itu dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Menerusi angka berkenaan, MPV itu mampu mencatat kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 8.7 saat dengan pecutan maksimum 201 km/j.

Bahkan di atas kertas enjin baharu itu menawarkan penjimatan sehingga 17.3 kilometer setiap liter (km/l) dan hanya mengeluarkan emisi kira-kira 129g/km.

Ciri lain yang diketengahkan adalah sama dengan versi petrol yang mana menawarkan rekaan luaran dan dalaman yang seimbang. Dibina di atas platform EMP2, ia menggabungkan aspek versatiliti, ruang kabin yang luas dan akses lebih mudah.

Ruang kabin Citroen Grand C4 Picasso jelas moden menerusi pelbagai ciri inovatif. Antaranya, skrin sentuh bersaiz tujuh inci, 12 inci skrin panorama dengan sistem navigasi, Sistem Bantuan Parkir, Active Cruise Control, sistem bantuan parkir hadapan dan belakang, sistem 360 darjah, kamera pandang belakang serta fungsi urutan pada tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

Untuk ketenangan minda pengguna, model pemasangan tempatan (CKD) itu didatangkan dengan ciri keselamatan pasif dan aktif antaranya Collision Risk Alert, Hill Start Assist, Lane Departure Warning System, Blind Spot Monitoring System dan Electronic Stability Programme (ESP). Sistem Electronic Stability Programme terdiri daripada Anti-Lock Braking System (ABS), Electronic Brake Force Distribution (EBFD), Electronic Brake Assistance (EBA), Dynamic Stability Control (DSC) dan Traction Control System (TCS).

Lipatan kerusi barisan ketiga tawar ruang lebih luas.

Citroen Grand C4 Picasso didatangkan dalam empat warna iaitu hitam, putih, biru dan merah dan dijual pada harga RM179,888 (di atas jalan termasuk insurans) bersama jaminan selama lima tahun dengan perbatuan tanpa had.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Naza Euro Motors, Datuk Samson Anand George, tahun lalu menyaksikan jualan Naza Euro Motors tumbuh sebanyak 110 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Dengan penambahan model terbaharu dalam rangkaian C, kami mensasarkan untuk menjual sekitar 600 unit Citroen pada tahun ini dengan 20 hingga 25 peratus datangnya daripada Grand C4 Picasso petrol,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment