Thursday, 30 April 2015

Ahmad Maslan tidak bodoh

MOHAMMAD AGUS: Ahmad Maslan tidak bodoh - Gambar fail

KUALA LUMPUR: "Saya harus nyatakan bahawa saya tidak pernah tulis dan nyatakan secara terbuka Ahmad bodoh atau tidak cerdik, saya tidak pernah melabelkan seseorang pemimpin itu cerdik atau bodoh."

Itu kata penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang menegaskan dia tidak pernah menyatakan secara terbuka mengenai Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan sebagai seorang pemimpin yang bodoh atau tidak cerdik.

Dr Mohammad Agus bagaimanapun berkata, apa juga pandangan yang dilemparkan terhadap Ahmad oleh mana-mana pihak harus diterima sebagai aspek perbezaan pendapat semata-mata.

"Saya tidak akan akan memperkecilkan orang. Itu bukan cara akademik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Mohammad Agus mengulas kenyataan Ahmad di sebuah portal yang menyifatkannya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin tidak memahami cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Kalau Tun Dr Mahathir, Dr Asri dan Dr Agus tahu tentang GST ini menurunkan cukai rakyat, saya kira mereka (akan) setuju dengan GST.

"Oleh kerana itu, saya ingin mengesyorkan Dr Agus dan Dr Asri belajar lebih lanjut tentang GST, sebelum nak kata saya bodoh dan sebagainya," kata laporan itu ketika dipetik.

Sebelum ini, Ahmad menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih belum memahami sepenuhnya maksud GST sehingga dilihat mahu mengekalkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang jelas lebih tinggi cajnya kepada rakyat.

Kata Ahmad, Dr Mahathir juga mungkin masih belum mendapat penerangan terperinci atau tersalah tafsir mengenai pelaksanaan GST daripada orang-orang di sekelilingnya.

Bagaimanapun, Dr Mohamad Agus dan Dr Mohd Asri selepas itu dilaporkan menyindir semula Ahmad yang membuat kenyataan memperkecilkan Dr Mahathir dalam isu GST.

Dalam pada itu Dr Mohammad Agus berkata, dia sudah singgah ke banyak negara luar yang mengamalkan GST di England sejak 1985 dan mendapati pelaksanaannya jauh berbeza dengan yang diadakan di negara ini.

"Saya sudah pergi ke hampir separuh negara yang ada GST sebelum Malaysia, tetapi satu yang lain tentang negara kita adalah harga barangnya inklusif GST, itu yang membuatkan rakyat keliru.

"Seingat saya tidak ada kena caj perkhidmatan kepada rakyat yang ke hospital swasta, sekarang pergi tandas, ambil duit sendiri pun ada caj.

"Saya bersuara begitu dengan mengambil kira saya memahami GST, ada banyak sisi baik, saya harus sokong GST demi ekonomi negara. Cuma pelaksanaannya meresahkan rakyat," jelasnya.

Katanya lagi, rakyat negara ini masih belum menerima GST.

"Ia seharusnya menurunkan harga barangan yang dikenakan caj 16 peratus sebelum ini kepada enam peratus sahaja, namun apa yang terjadi sekarang sebaliknya.

"Saya faham GST, cuma saya tidak faham cara pelaksanaannya di negara ini. Dahulu saya hendak balik Kelantan biasanya tiket RM100 namun kini bukan lagi dengan harga itu," ujarnya.

Sebelum ini, Dr Muhammad Agus menasihatkan UMNO agar tidak menggunakan isu GST sebagai jaminan cukai itu dapat menurunkan harga barang semasa berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

Tegas Dr Muhammad Agus, hujah GST yang dikatakan lebih rendah dari SST dilihat kempen tidak masuk akal. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a comment