Sunday, 15 March 2015

Waspada kritikan terbuka Tun M

Blog Tun M

1. SELAIN membaca akhbar secara konvensional, rutin saya juga membaca menerusi internet. Terutama catatan atau tulisan orang-orang yang saya anggap penting.

2. Terbaru saya terbaca tulisan dalam blog bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Topiknya berkaitan 1MDB. Catatannya berbentuk menghentam dan sasaran serangan adalah Datuk Seri Najib Tun Razak.

3. Kalau kita baca tulisan-tulisan Tun M kebelakangan ini, ia menjurus kepada mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib dan bukan lagi mengkritik secara konstruktif. Dalam tulisan terbaru isu 1MDB ini misalnya, Tun M terus mempersoalkan keputusan Kabinet agar Jabatan Audit Negara membuat pemeriksaan, sedangkan ia baru bermula.

4. Datuk Seri Najib meminta Jabatan Audit untuk menyemak akaun 1MDB kerana mahu ketelusan. Tapi, belum sempat ia melaksanakan tugas itu, Tun M awal-awal kritik dan mahu siasatan yang lebih meluas pula. Alasannya, rakyat masih tidak puas hati berkenaan 1MDB.

5. Malahan, Tun M dah ramalkan Barisan Nasional (BN) akan kalah dalam PRU akan datang kalau isu 1MDB tidak selesai. Justeru jika BN ditolak, katanya, sokongan kepada Presiden oleh pemimpin bahagian Umno tidak lagi bermakna.

6. Bagi saya, tulisan Tun M ini mempunyai agenda tersendiri. Matlamatnya untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri. Strateginya ialah untuk membuat tekanan terhadap Perdana Menteri.

7. Membaca tulisan Tun M ini, saya rasa yang rugi adalah Umno. Saya katakan demikian, kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah sokongan ke atas Umno, sebaliknya akan memburukkan lagi keadaan. BN dan Umno menjadi lemah dan akibatnya, kerajaan boleh menjadi goyah.

8. Oleh itu, ahli-ahli BN dan Umno perlu berfikiran terbuka dan tidak menerima bulat-bulat sesuatu pandangan yang dilontarkan. Ia perlu dianalisa, ditapis dan dibuat perbandingan dengan pandangan pihak lain.

9. Lebih penting, kita perlu sentiasa waspada dan berhati-hati dengan serangan bersifat peribadi. Jangan mudah terperangkap dengan pandangan satu pihak sahaja.

10. Seperti diperingatkan oleh Datuk Seri Najib ketika Konvensyen Umno Kedah pada Sabtu, ahli Umno perlu bersatu dan mengekalkan semangat berpasukan bagi mengekalkan kekuatan parti menghadapi PRU akan datang.

11. Ahli Umno, kata Najib, perlu meletakkan sasaran untuk memastikan parti terus kuat dan menang dalam pilihan raya, lebih tinggi daripada sebarang kepentingan peribadi.

12. Menurut Najib lagi, permasalahan dalaman parti perlu dikurangkan bagi memastikan sokongan masyarakat kekal terhadap Umno.

13. “Antara ‘pull factor’ (faktor penarik sokongan masyarakat kepada Umno) adalah semangat sepasukan, kurangkan permasalahan dalaman dan jangan cantas-mencantas antara satu sama lain. Jangan wujud dua pasukan dalam satu bahagian sehingga kita serba salah nak pilih,” kata Najib.

14. Untuk itu, beliau berterus-terang mengingatkan ahli Umno supaya mengetepikan ‘jemuan’ dan‘tukang kipas’ dalam parti yang sering mengadudombakan antara satu sama lain sehingga menggugat perpaduan di kalangan anggota.

15. Menurut Najib, Umno berkeupayaan untuk terus kekal berkuasa dan menang dalam pilihan raya sekiranya ‘jemuan-jemuan’ (berperangai buruk) ini tiada dalam parti.

**Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak adalah Speaker Dun Sabah menggantikan Juhar Mahiruddi‎. Beliau dilahirkan pada 9 Julai 1957 di Kota Belud, Sabah, Malaysia Timur. Beliau adalah Ketua Menteri Sabah ke-9 dari Disember 1994 hingga Mei 1996.


- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment