Sunday 15 March 2015

Kritikan Tun M bukti rakyat tolak Najib

Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR - Gesaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disiasat polis membuktikan bahawa penjelasan kerajaan mengenainya telah ditolak rakyat.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menegaskan pendirian Dr Mahathir itu semalam jelas menunjukkan maklumat yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menimbulkan keresahan rakyat.

"Saya bersetuju dengan perkara-perkara yang dibawa oleh Dr Mahathir berhubung 1MDB, malah, kami biasanya membicarakan perkara yang sama.

"Bezanya beliau BN dan saya PR, tetapi kesepakatan mengenai 1MDB ini menunjukkan isu 1MDB adalah isu besar yang melangkaui perbezaan politik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, selepas Dr Mahathir memuat naik kritikan pedas terhadap 1MDB dan perdana menteri, blognya chedet.cc tidak boleh diakses dan didakwa telah digodam oleh pihak tertentu kerana kurang senang dengan artikel tersebut.

Antara kritikan itu adalah, satu siasatan forensik polis perlu dilakukan terhadap mereka yang terlibat dalam tuduhan berkaitan 1MDB kerana audit biasa saja tidak mencukupi.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, audit yang ingin dilakukan ketua audit negara itu tidak mencukupi kerana tidak dapat membongkar apa yang berlaku dalam syarikat pelaburan strategik itu.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR turut menyokong kenyataan Dr Mahathir bahawa BN akan kehilangan undi pada PRU14 akibat daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April ini.

- Sumber: Sinar Harian | 14 Mac 2015

No comments:

Post a Comment