Sunday, 15 March 2015

Samsung Galaxy S6 sokong sistem pembayaran mudah alih




BARCELONA: Model telefon pintar baharu Samsung Electronics Co Ltd, Galaxy S6 tampil dengan rekaan tipis dan badan diperbuat daripada logam gred-penerbangan sejajar usaha syarikat untuk meningkatkan saingan kepada peneraju pasaran, Apple Inc. 

Mengetengahkan rekaan baharu sepenuhnya menerusi 'Projek Zero', Galaxy S6 serta varian yang melengkung sisi, Galaxy S6 Edge adalah produk yang kritikal kepada usaha Samsung untuk meningkatkan kembali sumbangan pendapatan daripada telefon pintar. 

Selepas pelancaran rasmi malam tadi, ramai kalangan penulis teknologi yang menyifatkan Galaxy S6 adalah peranti tercantik keluaran Samsung setakat ini selepas model sebelum ini S5 gagal menyengat.

"Kami ambil perhatian kehendak pelanggan dan belajar daripada apa yang tidak kena," kata J K Shin, Ketua Bahagian Peranti Mudah Alih Samsung dalam taklimat di sini.

Penganalisis menganggarkan Apple sudah jauh meninggalkan Samsung sebagai pengeluar telefon pintar nombor satu pada suku keempat tahun lalu dengan rekod tertinggi jualan iPhone 6 dan 6 Plus.

Antara ciri hebat pada model terbaharu Galaxy S6 ialah badan peranti itu yang dibuat daripada logam ringan yang digunakan dalam pembinaan pesawat, berbanding kerangka plastik yang mengecewakan pengguna pada S5 sebelum ini, serta menampilkan kaca Gorilla Glass Corning Inc's.

Selain naik taraf kamera dan skrin, Samsung tidak lagi menyertakan aplikasi keluarannya yang tidak popular serta mengambil banyak memori dalam peranti berkenaan. S6 akan menggunakan pemproses 64 bit, 14-nanometer Exynos keluaran syarikat itu sendiri berbanding pemproses sebelum ini cip Qualcomm Inc.

Satu lagi perkembangan terbaharu ialah, bateri telefon pintar baharu ini tidak boleh ditukar. Dengan itu, dua varian S6 baharu ini adalah yang pertama daripada Samsung yang menyokong ciri caj tanpa wayar tanpa perlukan aksesori khusus dan boleh mendapat empat jam kuasa dengan caj hanya 10 minit terus daripada sumber kuasa.

Samsung juga menggembar-gemburkan mengenai keupayaan Galaxy S6 untuk digunakan dalam sistem pembayaran mudah alih baharu yang akan dilancarkan di Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan dalam separuh kedua tahun ini.

Sistem itu yang dibangunkan dengan kerjasama beberapa bank dan pengeluar kad kredit utama AS termasuk Visa dan MasterCard, akan membolehkan pengguna membuat pembayaran mudah alih dengan menyentuh telefon pintar itu kepada pembaca jalur-magnetik tanpa perlukan aksesori tambahan.

Sistem pembayaran Apple Pay di AS yang diperkenalkan Apple, memerlukan peruncit memasang pembaca kad medan jarak dekad (NFC), sekali gus mengehadkan sasaran sistem itu sebagai kad kredit tanpa sentuhan. 

- Sumber: Reuters

No comments:

Post a Comment