Sunday 15 March 2015

Lima maut dalam perjalanan pulang dari Thailand

ALOR SETAR - Perjalanan pulang lapan sekeluarga ke Pondok Ayer Hitam di sini dari Satun, Thailand, bertukar tragedi apabila Perodua Alza yang dinaiki terlibat dalam kemalangan mengakibatkan lima daripada mereka maut.

Kereta berkenaan dikatakan dipandu laju ketika melalui jalan berselekoh menyebabkan ia terbabas dan merempuh tiang lampu di tepi jalan di Daerah Langu dekat Satun pada kira-kira 2 petang semalam.

Abdul Rahman Abdullah, 44; isterinya, Ramlah Adam, 38; anak-anak mereka Nur Aneesa Abdul Rahman, 21; Mehad Abdul Rahman, 7; dan Hajimuddin Abdul Rahman, 3 bulan terbunuh dalam insiden itu.

Dua lagi anak pasangan itu, Rofandi Abdul Rahman, 23; dan Nazri Abdul Rahman, 5, cedera parah.

Anak kepada Nur Aneesa, Naumi Nasaee, 2, berada dalam keadaan stabil.

Kesemua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Satun.

Ibu saudara Ramlah, Halijah Abu Bakar, 64, berkata Abdul Rahman dan anak-anaknya pergi ke Satun Khamis lepas untuk mengambil Ramlah yang berubat di sana. 

"Saya menerima panggilan dari saudara yang menetap di sana berkenaan kejadian tersebut pada pukul 9 malam semalam dan pada pukul 9 pagi tadi saya bergegas ke sana.

"Sampai di sana saya diberitahu Ramlah dan tiga lagi anaknya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian tengkuk dan muka manakala suaminya (Abdul Rahman) meninggal dunia selepas menjalani pembedahan memotong kaki.

"Anak sulungnya, Rofandi pula dikatakan dalam keadaan kritikal manakala Nazri telah menjalani pembedahan memasukan besi di bahagian kaki," kata Ramlah kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Air Hitam di sini.

Katanya, semua jenazah mangsa telah dimandi dan disemadikan di kawasan Masjid Sadoa, Thailand selepas Zohor hari ini.

Sumber Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla mengesahkan kejadian itu. 

-Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment