Sunday, 15 March 2015

Serangan bom: China tak akan duduk diam


Gambar hiasan

BEIJING - CHINA. Pihak tentera China tidak akan berdiam diri dan akan mengambil langkah tegas sekiranya Myanmar meneruskan serangan ke atas wilayah di negara tersebut, kata seorang pegawai kanan tentera selepas bom yang digugurkan dari pesawat Myanmar meletup hingga mengakibatkan empat kematian.

Myanmar bagaimanapun menafikan pelancaran bom ke wilayah negara tersebut sambil menyifatkan serangan tersebut disebabkan oleh puak pemberontak dengan tujuan melagakan kedua-buah negara itu, lapor Reuters.

Dalam pada itu, difahamkan, puak pemberontak tidak memiliki sebarang pesawat untuk melancarkan serangan bom seperti yang didakwa.

Perbalahan kerajaan Myanmar dengan pemberontak di sempadan China sejak bulan lalu dilaporkan kian meruncing, sehingga memaksa kerajaan China campur tangan dalam konflik terbabit.

China bagaimanapun menyeru kedua-dua pihak untuk berdamai.

Dalam perkembangan lain, China hari ini dilaporkan memperketat kawalan keselamatan udara di sempadan negara.

Timbalan Ketua di Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, Fan Changlong berkata, pihaknya menghantar pesawat untuk membuat pemantauan di sempadan bagi meningkatkan perlindungan ruang udara.

Menurut Changlong lagi, pihaknya telah bertemu dengan Kedutaan Myanmar untuk menyuarakan konflik pengeboman yang sedang berlaku di sempadan.

“Myanmar harus sedar betapa seriusnya situasi ini. Dan betapa seriusnya mereka harus tangani masalah ini. Pihak Myanmar harus hukum mereka yang terlibat dan menyebabkan masalah ini, mereka harus mohon maaf dan bayar pampasan atau ganti rugi kepada keluarga mangsa yang terkorban, serta jelaskan mengapa pengeboman itu berlaku kepada seluruh rakyat China.

“Mereka (Myanmar) juga harus ambil langkah ketat untuk mengekang pergerakan ketenteraannya bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berlaku. Jika tidak, kami (tentera China) akan mengambil tindakan tegas yang bertujuan melindungi nyawa, harta benda dan keselamatan orang-orang kami,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment