ROMIE bersama isterinya, pelakon, Hanez Suraya selepas majlis pernikahan mereka di Masjid Putra. - Foto Munira Abdul Ghani
PUTRAJAYA : Pelakon Hanez Suraya melahirkan rasa syukur atas kelancaran majlis pernikahannya bersama Romie Razin Adilha.
Pasangan itu tidak merancang mengenai hal cahaya mata sebaliknya menyerahkan kepada rezeki namun berharapkan anak perempuan bagi melengkapi bahtera perkahwinan mereka.
"Syukur Alhamdulillah setelah apa yang kami lalui akhirnya kami disatukan sebagai suami isteri. Saya enggan mengulas mengenai kisah lalu sebaliknya meminta agar semua mendoakan yang terbaik buat saya.
"Kami tidak merancang berhubung hal cahaya mata tetapi Romie mengharapkan anak perempuan bagi menyinari lagi perkahwinan kami.
"Memandangkan dua anak dari perkahwinan sebelum ini adalah anak lelaki maka Romie teringin untuk mempunyai anak perempuan pula," kata Hanez ketika ditemui pada sidang media selepas berlangsungnya majlis pernikahan mereka di Masjid Putra, di sini.
Sementara itu, Romie yang berada di samping Hanez turut berkongsi rasa gembiranya dengan kelancaran majlis pernikahan mereka. Malah Romie berharap agar Hanez dapat menjadi isteri dan ibu yang baik kepada anak-anaknya.
"Saya berharap tiada apa-apa isu lama yang dibangkitkan lagi dan Alhamdulillah pada hari ini terbuktilah cinta saya kepada Hanez. Saya tahu beliau adalah seorang yang kuat bagi menghadapi pelbagai cabaran yang telah kami harungi bersama.
"Saya berharap agar Hanez dapat menjadi isteri dan ibu yang baik kepada dua orang anak saya. Semoga jika kami diberikan rezeki maka dikurniakan rezeki yang baik juga," kata Romie dalam nada terharu.
Romie juga tidak menghalang kerjaya seni Hanez selagi pelakon itu tahu batas sebagai seorang isteri dan ibu. Malah Romie berharap keputusan yang dibuat oleh Hanez itu memberi kebaikan kepada kedua belah pihak.
"Seperti yang saya katakan dari dulu lagi, saya memang tidak menghalang kerjaya seni Hanez tetapi dia perlu tahu batasnya sebagai isteri. Kalau dia bergambar dengan lelaki pun sudah boleh membuatkan saya cemburu jadi faham-fahamlah sendiri.
"Lebih baik saya meluahkan isi hati dari memendam rasa kerana ianya tidak bagus dalam rumahtangga. Jika tiada sebarang halangan saya merancang untuk membawa Hanez untuk menunaikan umrah pada bulan April ini," kata Romie.
Menurut Romie, mereka belum memilih lokasi bulan madu buat sementara waktu dan memilih untuk membawa Hanez menunaikan umrah sebagai salah satu kejutan buat isterinya itu.
Majlis resepsi pasangan ini bakal berlangsung di Pusat Convention Sime Darby Bukit Kiara pada 22 Mac depan.
ROMIE menyerahkan mas kahwin kepada isterinyaselepas majlis pernikahan mereka di Masjid Putra. - Foto Munira Abdul Ghani
- Sumber: BH Online | 14 Mac 2015
No comments:
Post a Comment