Monday 9 February 2015

Penumpang AirAsia X berlepas dengan pesawat lain

Pesawat AirAsia X D7172 yang dijadualkan semula dari Kuala Lumpur ke Jeddah selamat berlepas pada 7.23 petang selepas pesawat D7172 pada jam 12.20 tengahari tadi ke Jeddah berpatah balik dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang hari ini.

SEPANG - Penerbangan AirAsia X ke Jeddah, yang mengalami masalah teknikal dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 5.40 petang tadi, berlepas pada 7.23 malam tadi menggunakan pesawat lain.

AirAsia X Berhad dalam kenyataan media malam ini menyatakan kesemua penumpang dipindahkan ke pesawat lain itu, yang dijadualkan berlepas pada 7 malam.

Syarikat itu mengesahkan pesawat yang berpatah balik itu mengalami masalah teknikal sebaik sahaja berlepas dari KLIA2.

"Sebagai langkah keselamatan dan mematuhi sepenuhnya semua standard keselamatan antarabangsa, pesawat itu berpatah balik dan selamat mendarat di KLIA2 pada 5.40 petang," kata kenyataan itu di sini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes yang dipetik AFP berkata:"Satu 'auto-thrust' tidak berfungsi dengan baik. Sebenarnya okay untuk terbang tetapi kami kembali ke pangkalan".

Dalam mesejnya kepada AFP, Tony berkata insiden itu adalah 'isu kecil'. 

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam tweet beliau juga mengesahnya penerbangan AirAsia X (D7172/XAX172) selamat mendarat di KLIA2 selepas berlegar-legar selama beberapa jam di ruang udara Selat Melaka. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment