Monday 9 February 2015

Azad Jasmin buat laporan polis




Pelakon, Azad Jazmin bersama isterinya, Eira Syazira menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap dakwaan pemilik Rania Marketing menerusi program Melodi dan Galaksi sebelum ini pada sidang media di Ampang hari ini. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Pelakon Azad Jasmin yang juga suami kepada Eira Syazira, membuat laporan polis di Balai Polis Puchong petang semalam terhadap dakwaan pemilik Rania Marketing menerusi program Melodi dan Galaksi sebelum ini.

Azad menjelaskan, dakwaan pasangan suami isteri itu, Datuk Suhaimi Othman dan Datin Muniroh Shuhaimy, bahawa beliau melarikan sejumlah duit adalah fitnah.

"Jika pihak mereka nak saman saya dan yang teraniaya dipersilakan. Kami di pihak yang benar. Kami ada bukti untuk bawa hal ini ke tengah.

"Setakat ini, kami ambil pendekatan tunggu dan lihat apa yang akan dilakukan mereka selepas ini, mereka yang melatah dulu dan menimbulkan provokasi.

"Kami boleh saman malu terhadap mereka. Usaha untuk menyelesaikan perkara berbangkit sebelum ini berakhir dengan kesudahan yang mengecewakan," katanya ketika ditemui BH Online di Hotel De Palma Ampang, di sini.

Azad mula menyertai perniagaan berkonsepkan rangkaian pemasaran di bawah Rania Marketing sejak 7 Mei tahun lalu tetapi mula mencurigai perniagaan itu selepas tiga bulan menyertainya.

"Saya teruja dengan apa yang ditawarkan syarikat ini kerana berhasrat mahu membantu bangsa Melayu yang lain... tetapi nampaknya semuanya hanya janji manis.

"Saya rasa bertanggungjawab kerana hampir 1,000 orang di bawah saya pun tak dapat pulangan. Kali terakhir saya dapat cek bernilai RM800. Bayangkan dengan jumlah itu saya perlu bahagi kepada mereka yang di bawah saya," katanya yang sudah menarik diri daripada perniagaan berkenaan sejak awal bulan lalu.

Pada pertemuan itu, Azad turut memperdengarkan mesej suara daripada Suhaimi yang diterimanya pada 7 Januari lalu.

"Saya menghantar dulu mesej suara kepadanya dan dibalas dengan ayat yang cukup mengejutkan apabila dia sendiri tak mempedulikan dan mengambil 'pot' perniagaan ini," katanya.

Difahamkan selain orang awam, perniagaan berkonsepkan rangkaian pemasaran itu juga turut disertai beberapa selebriti dan artis terkenal.

Sementara itu, Muniroh ketika dihubungi pagi ini menerusi aplikasi WhatsApp enggan mengulas lanjut. 

"Apa-apa nanti saya akan hubungi (semula)," katanya ringkas di WhatsApp.

Usaha menghubungi menerusi panggilan telefon bimbitnya untuk mendapatkan ulasan lebih lanjut mengenai laporan polis itu juga tidak berjawab.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment