Monday 9 February 2015

Cubaan culik kanak-kanak gagal

Suspek berjaya ditahan polis dalam sekatan jalan selepas 20 minit kanak-kanak tersebut diculik.


PORT DICKSON - Polis berjaya menggagalkan cubaan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun apabila berjaya menahan seorang lelaki berusia 32 tahun, petang kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang apabila kanak-kanak terbabit dikatakan berada di halaman rumah rakan ibunya di Kampung Paya, di sini, sebelum didatangi seorang lelaki yang bertindak melarikan mangsa menggunakan kereta jenis Perodua Axia.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baharudin Mustapha berkata, orang awam yang melihat kejadian itu segera menghubungi polis.

“Sebaik menerima laporan, polis melancarkan operasi mencari dan menyelamat untuk mengesan mangsa dan suspek. Polis turut mengadakan sekatan jalan raya.

“Suspek berjaya ditahan di Kilometer 28.8 Lebuhraya Seremban - Port Dickson, kira-kira 20 minit selepas kejadian dilaporkan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Baharudin berkata, kanak-kanak tersebut diselamatkan dan berada dalam keadaan baik, namun dibawa ke Hospital Port Dickson untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dan ujian air kencingnya positif dadah.

“Suspek direman hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment