Monday 9 February 2015

MH370: Isteri mangsa boleh dapat nafkah daripada harta peninggalan



IBRAHIM: Isteri boleh mendapatkan nafkah daripada harta yang ditinggalkan suami mengikut 'uruf' (adat kebiasaan).

PUTRAJAYA: Isteri mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang beragama Islam boleh mendapatkan nafkah daripada harta mangsa untuk menyara kehidupan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Tan Sri Ibrahim Lembut.

Beliau yang juga Ketua Hakim Syarie berkata untuk tujuan itu, isteri mangsa tidak perlu menunggu sehingga empat tahun untuk mendapatkan kepastian daripada mahkamah mengenai status perkahwinan mereka dan menuntut harta sepencarian.

"Isteri boleh mendapatkan nafkah daripada harta yang ditinggalkan suami mengikut 'uruf' (adat kebiasaan) iaitu perbelanjaan biasa bagi meneruskan kehidupan seharian tetapi tidak boleh diambil sewenang-wenangnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan hormat Menteri Keadilan Republik Gambia, Mama Fatimah Singhateh di sini hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan status perkahwinan bagi mangsa pesawat MH370 yang beragama Islam tidak terbubar dan sebarang tuntutan ke atas harta pusaka tidak boleh dibuat walaupun kerajaan mengisytiharkan semua penumpang pesawat malang itu terkorban.

Ibrahim berkata dalam hal tersebut, undang-undang Syariah dan Sivil perlu disebut bersekali iaitu tempoh empat tahun ditetapkan untuk menentukan status perkahwinan dan tempoh tujuh tahun untuk tuntutan harta di bawah undang-undang sivil.

"Tempoh empat tahun itu dibuat untuk menjaga kemaslahatan sekiranya dia (mangsa) masih hidup dan kembali (ke pangkuan keluarga), tetapi Islam memudahkan jika isteri ingin berkahwin lain, dia boleh ke mahkamah untuk minta taklik atau fasakh dan jika perlu menuntut harta sepencarian," jelasnya.

Menurutnya, status perkahwinan akan terbubar jika terdapat sebarang bukti ditemui seperti serpihan pesawat.

Sementara itu, waris juga boleh merujuk atau membuat permohonan kepada mahkamah syariah untuk menuntut separuh daripada harta peninggalan mangsa MH370 dan mendapatkan sebahagian lagi selepas tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang.

Pada 29 Jan lepas, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan pesawat MAS Penerbangan MH370 yang hilang, secara rasmi diisytiharkan sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu dianggap terkorban.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam, 8 Mac tahun lepas.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment