Monday 25 August 2014

Rossa akui cerewet dalam memilih pasangan duet

ROSSA: Mungkin akan keluarkan album duet sepenuhnya selepas ini

Sememangnya lagu-lagu duet nyanyian Datuk Rossa seringkali mendapat tempat di hati peminat-peminatnya di Malaysia termasuk di negara sendiri.

Lagu-lagu duetnya seperti Terlanjur Cintabersama Pasha Ungu, Aku Bersahajabersama Taufik Batisah dan Salahkahduet bersama Hafiz Suib adalah antara lagu-lagu berhantu yang menjadi kegilaan peminat.

Rossa, 35, mengakui pemilihan rakan duet serta lirik lagu tersebut amat dititikberatkan sebelum rakaman dimulakan.

“Ya, saya memang cerewet dalam memilih rakan duet.

"Biasanya lagu dan rakan duet akan dipilih oleh saya sendiri sebelum ianya memasuki proses rakaman,” kata Rossa ketika berkunjung ke Astro AWANI untuk mempromosikan album terbarunya, 'Love, Life and Music'.

Paling baru dalam album tersebut, selain lagu duetnya bersama Hafiz, Rossa mempertaruhkan lagu duetnya bersama penyanyi, Afgan berjudul Kamu Yang Ku Tunggu.

Rossa juga ada menyatakan perancangannya untuk berduet bersama penyanyi tersohor Malaysia, Anuar Zain.

Selain berhasrat mahu mengeluarkan satu album kompilasi siri duetnya bersama penyanyi-penyanyi Malaysia dan Indonesia.

"Saya dan Anuar pernah merancang untuk rakam lagu duet bersama, tetapi masing-masing sibuk dan peluang itu perlu diberikan kepada penyanyi lain dahulu.

"Selepas ini, siapa tahu saya mungkin akan keluarkan album duet sepenuhnya," jelas Rossa.

Seperti album-album sebelumnya, Rossa menggunakan khidmat kawan baiknya Melly Goeslow sebagai penulis dan penerbit lagu buat album ke-enamnya ini.

“Saya sangat selesa dengan Melly, bukan sahaja untuk album malah dalam kehidupan seharian pun, saya setiap hari akan menghubunginya.

"Kami memang sahabat karib yang berhubung setiap hari," ceritanya mengenai Melly.

Muzik video Hijrah Cinta nyanyian Rossa
Selain Melly, Rossa turut bekerjasama dengan beberapa penulis lagu yang tidak asing lagi dalam industri muzik Indonesia, antaranya Anto Hoed Bemby Noor dan Badai Krispatih.

Antara lagu yang menarik di dalam album ini adalah Hijrah Cinta ciptaan Melly yang didedikasikan buat rakan baik mereka berdua, Allahyarham Ustad Jefri Al Bukhori, selain menjadi lagu runut buat filem Indonesia, Hijrah Cinta.

“Pemergian Ustad Jefri amat memberi kesan kepada saya dan Melly, oleh sebab itu kami bercadang membuat satu lagu khas untuk persahabatan ini,” kata Rossa yang pernah memenangi tiga kali berturut-turut kategori Lagu Melayu Terbaik di Anugerah Muzik Malaysia (AIM).

Album 'Love, Life & Music' yang memuatkan 10 lagu ini telahpun berada di pasaran pada 9 Jun edaran Suria Records Sdn Bhd (SRC).

Album tersebut sudah berjaya terjual sebanyak 100,000 unit di Indonesia.

Lagu lain yang turut dimuatkan adalahJatuh Cinta Setiap Hari, Setia Menanti,Sisakan Hatimu, Milyaran Abad, Hati Tak Bertuan, Bukan Bukan dan As One. - Astro Awani

No comments:

Post a Comment