ABDUL KHALID: Menyifatkan dirinya amat bernasib baik kerana diberi peluang dan kepercayaan berkhidmat untuk rakyat Selangor.
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, hari ini, mengesahkan bahawa beliau akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah esok, bagi memberi penjelasan tentang krisis yang berlaku di negeri itu.
Abdul Khalid dipercayai akan menghadap Sultan Sharafuddin pada pukul 2 petang Selasa.
Sultan Sharafuddin, yang sepatutnya kembali ke tanah air dari percutian luar negaranya pada 27 Ogos, pulang empat hari lebih awal ekoran krisis itu.
Abdul Khalid akan menghadap Sultan Sharafuddin susulan keputusan pimpinan tertinggi PAS dalam satu mesyuarat khas pada 17 Ogos lalu yang membuat pendirian untuk tidak menyokong lagi kepimpinannya sebagai Menteri Besar Selangor.
Walau bagaimanapun, PAS mengarahkan empat anggota Exco daripada parti itu untuk kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid.
Dalam mesyuarat yang sama, PAS mencalonkan dua nama iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Mohamad Azmin Ali sebagai calon menteri besar yang baharu bagi menggantikan Abdul Khalid.
Menurut laporan Bernama, Abdul Khalid menyifatkan dirinya amat bernasib baik kerana diberi peluang dan kepercayaan berkhidmat untuk rakyat Selangor sejak menerajui tampuk pentadbiran pada Mac 2008, semasa memberi ucapannya di perhimpunan bulanan jabatan-jabatan kerajaan negeri Selangor.
"Saya telah isi hari-hari yang dilalui dengan usaha memperkasa pentadbiran negeri baik dari segi kewangan, polisi dan jati diri pegawai baik di jabatan kerajaan atau syarkat berkaitan kerajaan negeri.
"Saya percaya kita telah mencatat kejayaan yang boleh dibanggakan semua," katanya.
Namun, beliau berkata terdapat sesetengah pihak termasuk parti politik yang tidak senang dengan usaha tersebut dengan membuat dakwaan seperti perjanjian persefahaman mengenai penstrukturan industri air dengan kerajaan persekutuan tidak dijamin dapat dikawal kerajaan negeri.
Menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah, Abdul Khalid menjelaskan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) akan mengambil alih semua kepentingan syarikat konsesi air dan kerajaan persekutuan pula akan mengeluarkan lesen-lesen air sewajarnya kepada KDEB. - Astro Awani
No comments:
Post a Comment