Sunday 24 August 2014

Tidak sensitif, 2 stesen radio tidak bertafakur

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

KOTA BHARU – Kementerian Komunikasi dan Multimedia kini sedang menunggu laporan berkenaan dua stesen radio tempatan yang didakwa gagal mengikut cadangan bertafakur selama seminit pada Hari Perkabungan, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, dua stesen radio tersebut tidak termasuk 36 stesen yang turut serta dalam istiadat penghormatan sebaik sahaja 20 jenazah tragedi MH17 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kita masih menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung dua stesen radio tersebut.

“... mungkin SKMM boleh beri peringatan kepada mereka kerana tindakan yang dilihat tidak sensitif terhadap suasana itu.

“Selain itu kita mahu tahu apa masalah mereka sehingga seminit yang dicadangkan untuk bertafakur seluruh negara itu gagal dituruti mereka,” katanya.

Beliau hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kota Bharu kali ke-20 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Chat tadi yang turut dihadiri seluruh kepimpinan Umno bahagian itu.

Semalam, jenazah 20 daripada 43 rakyat Malaysia, yang terkorban dalam nahas MH17, tiba di tanah air dengan disambut penuh rasa pilu dan hiba, selepas 37 hari tragedi itu berlaku di Ukraine. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment