Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan program MyLesen secara bersepadu mulai tahun depan bagi memudahkan golongan muda terutama pelajar sekolah berumur 16 tahun ke atas mendapatkan lesen.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Yusoff Ayob berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pengendali institut memandu di seluruh negara di samping mempertimbangkan pemberian diskaun kepada calon terlibat.
"Modul kurikulum dan prosedur pengambil lesen sama sahaja seperti yang lama tetapi akan ada penambahbaikan dalam beberapa aspek pembelajaran praktikal dan teori," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program 1Komuniti 1JPJ (SKSJ) di Sungai Pinang yang disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya di Balik Pulau.
Beliau berkata, program MyLesen itu telah dijalankan selama tiga bulan di setiap negeri bermula April lepas sebagai projek perintis.
Katanya program sedemikian dirangka bertujuan melesenkan 3.5 juta penunggang motosikal yang tidak memiliki lesen memandu di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.
Dalam pada itu Yusoff berkata sejak SKSJ dilancarkan pada 2009, JPJ telah mengeluarkan lesen B2 kepada 67,606 peserta berumur 45 tahun ke atas di seluruh negara dan 1,483 penerima adalah dari Pulau Pinang.
Beliau berkata, tiada istilah 'tangkap muat' dalam pemberian markah lulus kepada golongan itu kerana proses pembelajaran dilakukan secara terperinci dengan penekanan diberi kepada aspek penyampaian lisan dan praktikal.
"(SKSJ) ini bukan lesen kelas kedua. Kadar lulus tinggi kerana peserta sebenarnya telah mahir dan berpengalaman menunggang motosikal...cuma tiada pengesahan kelayakan, kerana itu JPJ bantu supaya keselamatan mereka lebih terjamin selepas dapat lesen dan perlindungan insurans," katanya. - Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment