Kanak-kanak bermain dengan bebas dalam suasana yang lebih selamat.
HAMPARAN rumput yang menghijau menyegarkan pandangan mata. Terlupa sesaat akan keletihan dan tekanan kerja yang menghimpun tatkala bersama-sama keluarga dan teman-teman bergelak ketawa menikmati udara nyaman dan panorama bangunan tinggi mencakar langit yang tidak pernah membosankan.
Itulah magisnya tarikan Dataran Kemerdekaan, Shah Alam yang bukan sahaja menggamit kunjungan masyarakat setempat malah pelancong luar yang mahu merasai sendiri kedamaian di balik hutan batu Shah Alam tanpa mengira hari bekerja atau hujung minggu.
Suasana petang di dataran tersebut tidak pernah sunyi dengan suara riang kanak-kanak yang bermain, tidak kira apa sahaja yang dimainkan, padang hijau itu umpama taman permainan yang cukup menyeronokkan.
Bentangkan sahaja tikar atau alas di atas padang tersebut, anda sudah punya lokasi istimewa untuk apa sahaja acara walaupun sekadar berkumpul dan berbual kosong.
Terletak di Persiaran Bandaraya, Dataran Kemerdekaan dibina sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat kebangsaan yang ke 43, di mana Selangor diberi penghormatan sebagai tuan rumah tanggal 31 Ogos 2000 yang lalu.
Bersih, strategik dan praktikal, menjadikan Dataran Kemerdekaan sering menjadi pilihan agensi kerajaan dan swasta untuk dijadikan lokasi rasmi pelbagai acara termasuk program kerajaan negeri kerana keluasannya berupaya menampung jumlah hadirin yang ramai.
Sinar Harian berkesempatan untuk meninjau dan merasai sendiri suasana di padang hijau tersebut. Ternyata pada petang hari minggu, ruang padang sarat dengan keceriaan dan kemeriahan yang terbias daripada wajah-wajah para pengunjung yang datang.
Setiap kali mata menyorot melepas pandangan ke setiap inci padang, terlihat kebahagiaan ibu bapa yang mengambil kesempatan membawa anak-anak kecil untuk berlari gembira dan bebas bermain di situ.
Lebih menarik lagi, Dataran Kemerdekaan ini juga dijadikan lokasi alternatif untuk warga Lembah Klang mengadakan keraian, perkelahan dan juga acara makan-makan secara 'port luck'. Sememangnya tempat ini sangat praktikal untuk setiap peringkat umur tanpa mengira bangsa dan agama, berkumpul dan bersantai.
Bagi seorang pengunjung Aisah Mohd Yusuf, 29 , berkata, keluarganya memilih Dataran Kemerdekaan Shah Alam sebagai lokasi sambutan ulang tahun kelahiran anak saudaranya.
“Kami tinggal di U5 Subang, tidaklah selalu datang ke sini tapi kalau boleh memang nak riadah di sini setiap minggu.
“Suasana yang indah dan menarik di sini bagus untuk perkembangan minda kanak-kanak, mereka dapat meneroka alam,” katanya.
Sementara itu, Aisah turut mencadangkan supaya dibangunkan sebuah taman permainan untuk kanak-kanak bermain kerana ibu-bapa mudah untuk memantau pergerakan anak-anak mereka.
Manakala bagi bapa tiga orang anak, Mohd Azuan Ahmad, 35, dari Bukit Kuda Klang, Dataran Kemerdekaan adalah lokasi wajib dikunjungi mereka seisi keluarga.
“Dua tiga minggu sekali saya akan datang membawa anak-anak ke sini. Ia salah satu tempat santai untuk kami meluangkan masa bersama.
“Tapi kalau ada gerai jualan makanan lagi bagus, tidak perlu bawa bekal dari rumah lagi,” katanya.
Manakala bagi Aisyah Mohd Nasoro, 26, dari Sekyen 17, berkata, walaupun tinggal di rumah teres tetapi anak-anak dilarang bermain di luar rumah kecuali jika dibawa ke padang untuk bermain atas faktor keselamatan.
“Jika di sini, anak-anak mudah untuk dikawal dan keadaan lebih selamat. Mereka boleh main dengan bebas,” katanya.
Timbalan Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, kebersihan dan penyelenggaraan Dataran Kemerdekaan dipantau oleh Jabatan Taman dan Rekreasi melalui kontraktor dilantik.
“Memandangkan dataran ini merupakan salah satu tempat tumpuan warga kota untuk beriadah dan bersantai bersama keluarga dan rakan, MBSA memandang serius aspek kebersihan dan keselesaan pengunjung,” katanya. -- Sumber: Dinar Harian
No comments:
Post a Comment