MINGGU lepas, dunia dikejutkan dengan berita pembunuhan kejam wartawan Amerika Syarikat, James Foley oleh kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) atau juga dikenali Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS). Video seorang askar ISIS memancung kepala James Foley tersebar ke seluruh pelosok internet.
Kita tidak nafikan bahawa perang di Gaza masih belum berakhir. Keganasan Israel masih belum sampai ke penghujung. Ribuan yang orang awam yang telah dibunuh tentera Israel masih diratapi. Keganasan Israel masih perlu kita tentang.
Tetapi pada masa sama, kita tidak boleh menutup sebelah mata terhadap apa yang dilakukan oleh ISIS. Kematian James Foley mendapat perhatian kerana dia seorang warga Amerika.
Tetapi sebelum Foley dibunuh, ribuan warga Iraq, Syria, Kurd, sama ada beragama Islam, Kristian atau lain-lain telah terkorban akibat keganasan ISIS. Di samping itu, mereka telah mengusir orang Kristian di tanah jajahan mereka. Jika tidak, mereka dikatakan akan dibunuh.
ISIS mendakwa bahawa mereka telah membentuk sebuah negara Islam di tanah jajahannya. Ketua mereka, Abu Bakr al-Baghdadi telah diangkat sebagai khalifah bagi Negara Islam versi mereka.
Negara Islam yang pertama ditubuhkan di muka bumi ini adalah di Madinah, oleh Nabi Muhammad SAW. Pada masa itu, Nabi Muhammad telah menandatangani Piagam Madinah, sebuah dokumen yang menjanjikan kebebasan bagi golongan bukan Islam di Madinah.
Piagam tersebut mempunyai 47 fasal semuanya, dan 24 daripada fasal yang ada membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan bukan Islam.
Piagam Madinah, antara lain menjanjikan kebebasan beragama, dasar hubungan baik dan saling bantu-membantu antara semua warganegara dan tanggungjawab pemerintah ke atas warga bukan Islam.
Contohnya, pada fasal 16, tercatat bahawa orang-orang Yahudi hendaklah mendapatkan pertolongan, tidak boleh dizalimi dan tidak boleh ada pakatan tidak baik terhadap mereka.
Di samping itu, Islam juga telah menggariskan panduan bagi peperangan. Contohnya, pejuang Islam dilarang mencacatkan mayat, membunuh wanita, kanak-kanak atau orang tua. Islam melarang pokok dibakar, atau membunuh haiwan ternakan musuh.
Cuba bandingkan Piagam Madinah dengan ‘Negara Islam’ yang dibentuk oleh ISIS. Cuba lihat sama ada ISIS ada mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Islam. Islam melarang sekeras-kerasnya pembunuhan orang awam yang tidak bersalah.
Cuba belajar daripada Nabi Muhammad SAW dalam interaksinya dengan musuh dan bukan Islam, dan bandingkan dengan apa yang ISIS telah lakukan ke atas begitu ramai orang awam di Iraq dan di Syria.
Jelas sekali, Negara Islam yang dicanang mereka langsung tidak Islamik.
Ramai Muslim telah pun mengutuk sekeras-kerasnya apa yang dilakukan oleh ISIS dengan menggunakan nama agama. Contohnya di UK, beberapa imam telah membuat video untuk meyakinkan anak muda Britain daripada menyertai ISIS. Negara-negara majoriti Muslim yang lain juga telah menolak ISIS, yang dilaporkan sebelum ini mahu berhasrat untuk memusnahkan Kaabah apabila mereka berjaya menakluki Arab Saudi.
Indonesia telah pun mengharamkan ISIS dan mendesignasi mereka sebagai kumpulan pengganas. Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menyifatkan keganasan ISIS sebagai mengerikan dan tindakan mereka memalukan umat Islam.
Di Malaysia, ini kutukan paling jelas datang daripada Tun Mahathir Mohamad. ‘Islam adalah agama kedamaian’, ujar beliau. Malangnya, masih belum ada ketua kerajaan yang sama mengutuk ISIS setakat ini.
ISIS hanya menggunakan nama Islam. Tetapi apa yang mereka lakukan jauh daripada apa yang disarankan dan disyariatkan oleh Islam.
_____________________________________________
Oleh: SYAHREDZAN JOHAN
Disiarkan di Sinar Harian, 25 Ogos 2014
Penulis adalah seorang peguam muda.
No comments:
Post a Comment