JOHOR BAHRU - Seorang warga emas maut selepas ditolak keluar dari kereta milik rakan wanitanya yang cuba dilarikan sekumpulan empat lelaki di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, di sini, semalam.
Rakan wanita mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 12 tengah malam ketika dia bersama mangsa, Choo Tin Sin, 68, dalam perjalanan pulang selepas keluar makan bersama di Taman Gaya, dekat sini.
Menurutnya, kereta yang dipandu secara tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta yang dinaiki sekumpulan empat lelaki.
“Dalam keadaan terkejut, kami keluar untuk melihat apa yang terjadi, namun dua daripada empat lelaki itu terus masuk ke dalam kereta saya dan cuba melarikannya.
“Tin Sin sempat masuk ke dalam kereta namun tidak jauh selepas kereta dilarikan, saya lihat Tin Sin ditolak keluar dan terjatuh di atas jalan raya,” katanya.
Katanya, dia berlari mendapatkan Tin Sin dan mendapati mangsa cedera parah di kepala.
“Beberapa orang awam yang berada di stesen minyak berhampiran bergegas menghantar Tin Sin ke Hospital Sultan Ismail (HSI), namun dia disahkan meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin yang mengesahkan kejadian memberitahu pihaknya sedang memburu keempat-empat suspek.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment