Friday 25 October 2013

Pasangan kekasih ditahan

Pasangan kekasih ditahan
Kok Liang menunjukkan dadah yang dirampas sambil diperhatikan Ketua Cawangan Narkotik IPD Hilir Perak, Deputi Superitendan Alex Cantra pada sidang akhbar di pejabatnya, semalam.


TELUK INTAN - Rancangan sepasang kekasih mahu berjoli wang hasil pengedaran dadah musnah apabila ditahan sepasukan polis atas kesalahan memiliki bahan terlarang, dekat Pekan Langkap, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, pasangan kekasih berusia 26 dan 27 tahun itu berasal dari Pulau Pinang ditahan sepasukan polis Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, kira-kira jam 2.45 petang kelmarin.

Menurutnya, pasukan diketuai Inspektor Mazlee Ramlee menahan kereta jenis Toyota Estima dipandu suspek lelaki yang berhenti di hadapan sebuah restoran makanan Cina di sini.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, polis menemui sebuah beg berwarna biru berisi dua peket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki dadah anggaran berat 755.67 gram yang dibungkus dengan helaian surat khabar.

“Polis turut menemui satu plastik mengandungi bahan dipercayai dadah dengan anggaran berat 65.24 gram dan jumlah dadah yang dirampas bernilai RM41,000,” katanya kepada media, di IPD Hilir Perak semalam.

Kok Liang berkata, hasil siasatan juga mendapati kedua-dua suspek melakukan aktiviti pengedaran di Pulau Pinang dan Langkap.

Jelasnya, suspek lelaki memiliki satu rekod lampau yang disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala suspek wanita tiada sebarang rekod lampau.

“Hasil ujian saringan ke atas kedua-duanya menunjukkan mereka positif dadah Methapethamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment