Friday 25 October 2013

Suami ugut gantung diri untuk tutup kesalahan?

  • Sahadan Jaafar
  • Timbalan Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar



MUAR - Seorang pengawal keselamatan mengambil tindakan di luar kawalan apabila mengugut untuk menggantung diri pada bumbung rumah dalam kejadian di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 59 tahun itu, bertindak sedemikian dipercayai kerana ingin menutup kesalahannya yang disyaki menjalinkan hubungan sulit bersama wanita lain.

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu gagal apabila polis berjaya menyelamatkannya  selepas usaha memujuk oleh isterinya tidak membuahkan hasil.

Timbalan Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, kejadian sekitar jam 2.15 petang itu disedari jiran pasangan berkenaan selepas mendengar suasana kecoh di rumah pasangan terbabit  berikutan perselisihan faham yang berlaku.

Menurutnya, jiran itu yang panik apabila mengetahui lelaki terbabit cuba untuk membunuh diri bertindak segera menghubungi pihak olis bagi mendapatkan bantuan.

“Ketika tiba di tempat kejadian, polis mendapati lelaki berkenaan sedang memanjat pintu besi rumah dengan tali nilon ada pada lehernya.

“Lelaki terbabit memanjat pintu berkenaan untuk mengikat tali di bumbung rumah dipercayai untuk menggantungkan dirinya,” katanya ketika mengesahkan kejadian, semalam.

Sahadan berkata, sebelum itu, lelaki itu terlebih dahulu bertindak mengurung isterinya yang berusia 48 tahun bersama salah seorang daripada empat anak mereka di dalam rumah ketika cuba untuk menghalang perbuatannya.

Jelasnya, lelaki tersebut enggan mendengar nasihat dan menerima pujukan polis, sebaliknya berterusan mengugut untuk membunuh diri sebelum bertindak terjun daripada bumbung rumah berkenaan.

“Kejadian cemas hampir 20 minit itu berakhir apabila polis sempat menyambut lelaki berkenaan yang terjun daripada bumbung rumah, dan mengalami sedikit pendarahan pada bahagian mulut,” katanya.

Sahadan berkata, lelaki tersebut ditahan untuk siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 309 kanun keseksaan kerana cubaan membunuh diri yang boleh membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.


Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment