Friday, 25 October 2013

'Media sosial bukan untuk hiburan semata-mata'

'Media sosial bukan untuk hiburan semata-mata'

Penggunaan media sosial untuk menyebarkan hal remeh dan hiburan semata-mata perlu diubah kepada tujuan yang lebih produktif, saran Ketua Pengarang Kumpulan Berita Publishing Sdn Bhd Datuk A. Kadir Jasin.

A. Kadir yang juga bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), berkata antara pendekatan yang boleh diambil ialah memperkaya dunia ilmu dan penyelidikan supaya Malaysia boleh menjadi pengeluar kepada bahan-bahan media baharu dan Internet.

"Penerimaan media baharu yang berasaskan Internet sudah tidak boleh dipertikaikan lagi. Malah dalam beberapa hal sudah mengatasi media tradisional.

"Cuma saya rasa kita perlu fahami adakah kita menggunakan media baharu untuk tujuan yang produktif atau sekadar hiburan," katanya kepada pemberita di luar forum Trend Media Massa di Negara-negara Membangun di sini hari Khamis.

Forum anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Suruhanjaya Kebangsaan Unesco Malaysia itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha 1 Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Dr Rothiah Omar.

A. Kadir berkata Malaysia boleh mencontohi negara-negara maju yang lebih mengutamakan penyelidikan pembinaan program dan penggunaan Internet secara produktif untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

Sehubungan itu beliau yang juga anggota panel forum, berkata sudah tiba masanya kajian terperinci dibuat untuk melihat kedudukan Malaysia dalam pengunaan media baharu dan Internet supaya penambahbaikan boleh dilaksana.

Sementara itu Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong berkata penggunaan media sosial kini diterima semua lapisan masyarakat kerana teknologi baharu berkenaan membolehkan rakyat mendapat akses kepada pelbagai perkara.

"Tetapi dalam media sosial mungkin ramai orang ingat tiada batasan. Jadi apa-apa pun mereka akan hantar dan kongsi. Jadi inilah beza peranan media sosial dan arus perdana.

"Kita perlu ingat seperti dinasihatkan SKMM, bahawa undang-undang untuk 'online' dan 'offline' itu sama. Kita perlu menghormati undang-undang dalam negara dalam apapun yang ingin dikongsikan," katanya yang juga moderator dalam forum itu.

Yong berkata trend berkongsi maklumat atau gambar yang 'tidak manis' atau mengerikan menerusi media sosial juga perlu dikawal kerana perbuatan itu membawa pelbagai kesan buruk.

"Dalam keghairahan untuk menyebarkan (gambar) kerana kita ada di tempat itu dan hendak dapatkan nama, kejayaan itu tidak manis kerana kita telah menggunakan kepahitan atau kesedihan sesuatu perkara untuk mendapat nama dalam  arena media sosial," katanya.

Sementara itu, Rothiah dalam ucapannya berkata kementerian berkenaan terbuka menyokong perkembangan trend media di negara ini terutama berhubung peranan media sosial dalam berkongsi berita serta maklumat.

Katanya kementerian juga bersedia untuk bekerjasama rapat dengan media ke arah transformasi dalam penyebaran komunikasi dan maklumat demi kebaikan rakyat dan pertumbuhan negara.

"Di Malaysia kita ada  17.5 juta pengguna Internet, 11 juta pemilik akaun Facebook, dua bilion SMS setahun dan angka ini terus bertumbuh setiap hari bagi memenuhi permintaan orang ramai," katanya.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment