Tertuduh masih sempat tersenyum dan kelihatan bersahaja selepas hukuman diputuskan, semalam.
KOTA BHARU - Perbuatan kejam seorang tauke kedai tayar merodok kepala ibunya dengan besi tajam terbalas apabila Mahkamah Majistret di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadapnya.
Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap Tan Choon Siang, 40, dari Kampung Wakaf Che Yeh, di sini.
Dalam kejadian di Taman Pendek, Jalan Salor di sini, pada jam 2.30 pagi, 17 September lalu, ibu Choon Siang, Leng Si Eng, 80, didatangi tertuduh yang meminta wang.
Keadaan bertukar tegang selepas pengadu tidak dapat penuhi permintaan anaknya itu, lalu dipukul dengan batang buluh bermata besi tajam.
Akibatnya, mangsa cedera di kepala sebelum dikejarkan ke hospital dan menerima tiga jahitan.
Terdahulu, sebelum hukuman diputuskan, Choon Siang mengaku mabuk ketika itu dan memohon hukuman terhadapnya diringankan kerana telah insaf.
Namun, Nik Habri menjelaskan kepada tertuduh, kesalahannya berbeza dengan kes lain berikutan mangsa adalah ibu kandungnya sendiri.
“Memukul orang awam dan ibu sendiri adalah kesalahan yang berbeza. Kamu perlu faham hukuman saya mesti lebih berat,” katanya.
Nik Habri kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa daripada tarikh dia ditahan, sehari selepas kejadian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, Choon Siang mengaku bertindak sedemikian kerana mentaati perintah Tuhan apabila memenuhi permintaan ibunya supaya dipukul.
Sumber
No comments:
Post a Comment