Friday 25 October 2013

Cara penyimpanan tak sempurna punca bakteria salmonella merebak

Cara penyimpanan tak sempurna
Dr Umai Kalsom (kanan) menerangkan mengenai kepentingan penyediaan makanan dengan sempurna yang boleh mengelakkan berlakunya keracunan makanan.


SUNGAI PETANI - "Kaedah penyimpanan ayam sejuk beku yang tidak sempurna menjadi punca bakteria salmonella merebak."

Jelas Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Muda, Dr Umai Kalsom Hashim ketika diminta mengulas punca sebenar bakteria tersebut merebak sehingga meragut empat nyawa di Tanjung Dawai baru-baru ini.

Menurutnya, hasil siasatan dilakukan mendapati sebaik sahaja potongan ayam dari 80 ekor dicuci, ia disimpan dalam sebuah peti sejuk beku untuk kegunaan keesokan hari.

“Dimaklumkan, ketika petugas mahu menukar suhu kemungkinan ia tersilap apabila mendapati ayam tidak beku pada keesokannya.

“Disebabkan jumlah yang banyak, petugas mengambil keputusan untuk mengasingkan ayam yang masih elok sementara sebilangan kecil yang rosak dibuang,” katanya.

Umai Kalsom berkata, kapasiti peti sejuk beku juga harus diambil kira sama ada ia mampu menampung jumlah potongan ayam yang banyak dalam satu-satu masa.

Umai Kalsom bagaimanapun menasihati pengusaha atau pengendali makanan agar menitik beratkan aspek penyediaan makanan agar perkara sama boleh dielak.

Beliau turut meminta syarikat katering di daerah ini memberikan perhatian yang serius untuk menyediakan makanan agar memastikan kaedah pengendali makanan serta bahan mentah dalam keadaan sempurna.

“Ketika pemeriksaan, kita pernah temui ada sesetengah peti sejuk beku tidak berfungsi dengan baik, sesetengahnya tiada tempat simpan bahan mentah, cuma masukkan dalam bekas ais yang dicampur bahan mentah serta makanan sudah masak yang menyebabkan boleh berlaku pencemaran silang.

“Bahan mentah kena simpan di peti sejuk beku, fungsi dan kebersihannya perlu dijaga, jika tak berfungsi, tak cukup sejuk, suhu tak mencukupi, boleh menyebabkan pembiakan organisma,” katanya.

Beliau turut menasihati semua pengendali makanan untuk menghadiri kursus yang dikendalikan Sekolah Latihan Pengendali Makanan yang diiktiraf KKM di samping mengamalkan kaedah yang baik semasa mengendalikan makanan.


Artikel penuh boleh dibaca di sini.

No comments:

Post a Comment