Friday 25 October 2013

Kes bunuh pegawai bank: 3 ditahan

Pekerja bank mati ditembak
Mayat mangsa yang ditembak dalam sebuah bank di USJ 2, semalam dihantar ke hospital untuk bedah siasat.


SHAH ALAM - Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita, dipercayai isteri pengawal keselamatan yang merompak dan menembak mati pegawai Ambank Rabu lepas, dan menemui semula lebih 20,000 wang rompakan itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu dan lelaki berusia 20-an yang juga anggota keluarga suspek ditahan di sebuah rumah di Klang pada hari kejadian.

Beliau berkata, dua anggota keluarga suspek yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah itu juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di syarikat keselamatan yang berlainan.

"Hasil tangkapan itu, polis menemui lebih RM20,000 dalam sebuah gudang perniagaan di Subang Jaya...wang itu disimpan oleh seorang daripada anggota keluarga suspek di tempat dia bekerja," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis percaya pengawal keselamatan yang kini diburu itu masih berada di negara ini dan satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat kes itu.

Dalam kejadian 6.18 petang itu, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh suspek ketika beliau membuka peti besi di dalam bilik kebal Ambank cawangan Subang Jaya, bersama-sama seorang lagi pegawai wanita.

Pengawal keselamatan yang mengunakan nama Ardi Hamza itu melarikan wang tunai berjumlah RM450,000.

Mohd Shukri berkata, siasatan awal mendapati suspek yang dikenali sebagai Ardi Hamza itu bukan rakyat Malaysia berasal dari Sabah tetapi rakyat negara jiran.

Suspek dan anggota keluarganya dipercayai telah menetap di Malaysia selama dua tahun, katanya.

Beliau berkata, polis juga akan menyiasat bagaimana suspek yang menggunakan kad pengenalan palsu boleh bekerja di sebuah syarikat keselamatan dan mendapat permit menggunakan senjata api.

"Polis sedang giat berusaha untuk menjejaki suspek yang dipercayai masih lagi berada di sini selain mendapatkan kerjasama daripada Interpol," katanya.

Sementara itu, Mohd Shukri mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar mangsa kerana tindakan itu menyalahi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment