Thursday, 17 October 2013

Polis tertembak secara tidak sengaja: Jangan ambil mudah, kata ibu bapa

Tertembak: Jangan ambil mudah, kata ibu bapa
Keadaan Mohd Amar yang kini dirawat di PICU, HRPB.


IPOH - “Kami sekeluarga meminta supaya pihak berwajib memandang serius terhadap kejadian ini kerana membabitkan orang awam dan kanak-kanak di bawah umur,” kata Mohd Azizi Abdullah, 48, ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Mohd Azizi adalah bapa kepada Mohd Amar Mohd Azizi, 10, mangsa tembakan dipercayai dilepaskan secara tidak sengaja oleh seorang anggota polis ketika sedang mengosongkan senjata dalam kejadian yang berlaku di Kampung Belanja Kiri, Parit, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa bersama rakan-rakan dipercayai berada dalam jarak antara 30 ke 40 meter dari rumah mertua anggota polis yang berpangkat sarjan itu.

Menurutnya, ketika kejadian dia tidak berada di rumah kerana bekerja dan seperti rutin biasa, anaknya akan bermain bersama rakan-rakan di sekitar kawasan kampung tersebut.

“Malah, sehari sebelum kejadian, anak saya ada meminta sedikit wang untuk dibelanjakan di pasar pagi keesokan harinya,” ujarnya yang tinggal di kampung yang sama.

Katanya, anak bongsu daripada empat adik beradik itu sangat manja dengan mereka sekeluarga dan dia seorang anak yang taat kepada ibu bapa.

“Setakat ini, anak saya berada dalam keadaan stabil dan pembedahan untuk mengeluarkan peluru dijangka dijalankan sama ada Khamis atau Jumaat ini bergantung pada keadaannya.

“Kami sekeluarga berdoa dan berharap anak saya selamat menjalani pembedahan itu nanti,” katanya yang mengenali bapa mertua kepada sarjan yang tertembak anaknya itu.

Sementara itu, Pakar Perunding Neurosurgeri HRPB, Dr Cheang Chee Keong berkata, pemeriksaan imbasan x-ray mendapati peluru itu menembusi hidung kanan mangsa sebelum memasuki kerongkong dan kini berada antara tulang kepala dan leher.

“Mangsa bernasib baik kerana peluru itu berada hanya satu sentimeter dari saraf tunjang. Jika peluru itu mengenai tepat pada saraf tunjang mangsa berisiko untuk lumpuh.

“Setakat ini, kami masih berbincang dengan doktor pakar dari seluruh negara cara dan alternatif terbaik untuk mengeluarkan peluru tersebut dengan cara selamat.

“Pembedahan ke atas mangsa mungkin akan dijalankan pada hari Khamis ataupun Jumaat dan bergantung kepada keadaan mangsa,” katanya ketika ditemui di HRPB, semalam.

Chee Keong berkata, walaupun mengalami kemalangan serius, keadaan Mohd Amar dilihat semakin stabil dan mampu bercakap dan bergerak.

Exco kerajaan negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat Mohd Amar yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HRPB.

Beliau yang juga Adun Tualang Sekah berkata, pihaknya bersimpati atas nasib yang menimpa keluarga mangsa dan menganggap ia satu perkara yang serius kerana membabitkan nyawa.

“Namun, saya juga agak terkejut apabila mangsa masih mampu bercakap dan bergerak walaupun mengalami keadaan yang serius.

“Saya berharap pihak hospital dapat melakukan yang terbaik untuk memastikan kanak-kanak terbabit selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah yang diminta mengulas lanjut kejadian itu memberitahu tindakan tegas akan diambil terhadap anggotanya sekiranya ia berpunca dari faktor kecuaian.

“Buat masa ini siasatan lanjut sedang dijalankan dan jika terbukti kesalahan yang dilakukan itu maka pihak kami tidak teragak-agak mengambil tindakan tata tertib atau mengikut hukuman yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan menyerahkan siasatan berkenaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah bagi menjalankan siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment