Thursday, 17 October 2013

Curi patung kuil, jual di pusat besi buruk

Curi patung kuil, jual di pusat besi buruk
Gunarajan (kiri) menunjukkan peralatan sembahyang dan patung yang dicuri dan dijual di kedai barangan lusuh.


BUKIT BERUANG - Seorang penagih dadah menjadikan kuil dan tokong di daerah ini sebagai sumber pendapatannya dengan mencuri peralatan sembahyang di bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, kelicikannya tidak bertahan lama apabila diberkas di Tangga Batu, Rabu lalu.

Lelaki berusia 23 tahun itu diberkas kira-kira 6.30 pagi selepas polis berjaya mengesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran Kuil Sri Sundramoothy, Batu Berendam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan PR Gunarajan berkata, penangkapan suspek membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 51 tahun di Sungai Udang, di sini, pada 9 Oktober lalu.

“Ekoran penangkapan suspek, seorang lelaki dipercayai membeli barangan peralatan sembahyang termasuk patung daripada suspek turut ditahan kerana menjalankan perniagaan barangan lusuh tanpa lesen," katanya,

Menurutnya, pemeriksaan di sebuah rumah di Paya Rumput, Sungai Udang tersebut, polis menemui dan merampas 306 peralatan sembahyang tembaga peralatan sembahyang perak (30), selain patung Hindu (8), patung Buddha (3) dan sebatang kuku kambing.

Katanya, suspek yang aktif melakukan kegiatan pecah masuk kuil dan tokong seorang diri sejak kira-kira enam bulan lalu itu dipercayai membuat tinjauan terhadap bangunan berkenaan terlebih dahulu sebelum pecah masuk.

“Suspek bekerja sebagai buruh membuat jalan dan dia biasanya meninjau laluan masuk keluar kuil dan tokong ketika sedang bekerja di kawasan berhampiran rumah ibadat tersebut.

"Dengan penangkapan suspek dan barang rampasan bernilai kira-kira RM20,000 ini, kita percaya dapat menyelesaikan kira-kira lapan kes pecah masuk tokong, dua di kuil dan satu kes membabitkan gereja," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), dekat sini, semalam.

Gunarajan berkata, lelaki berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, sementara pengusaha barang lusuh itu ditahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.


Sumber

No comments:

Post a Comment