Thursday 17 October 2013

Kakitangan TNB jadi dalang

Kejadian ini berlaku bulan September lalu, tetapi elok untuk diimbau kembali untuk peringatan semua.

Kakitangan TNB jadi dalang
Rumaizi (dua, kiri) dan Ketua CSJ UPK Ibu Pejabat, Muhammad Prem Haikal Abdullah (dua, kanan) melihat komponen alat ubah yang dileraikan suspek di dalam sebuah lori pemunggah barang.


BUKIT SENTOSA - Dalam tempoh kurang 24 jam, sekumpulan lapan penjenayah berjaya ditangkap ketika cuba meleraikan komponen alat ubah milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika operasi di sebuah kedai besi buruk di Sungai Choh.

Difahamkan, tiga daripada lapan suspek yang ditangkap merupakan kakitangan dan sub kontraktor TNB yang dipercayai menjadi dalang sindiket mencuri dan menjual alat ubah itu.

Penolong Pengurus Besar, Cawangan Siasatan Jenayah (CSJ), Unit Perkhidmatan Keselamatan (UPK) Ibu Pejabat, Rumaizi Mohd Amin berkata, tangkapan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota CSJ UPK Ibu Pejabat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu operasi malam kelmarin.

“Serbuan ke atas premis (di kawasan perindustrian Anugerah Suria, Sungai Choh) yang dijadikan sebagai tempat untuk meleraikan komponen alat ubah ini, sebenarnya hasil intipan selama dua bulan yang dibuat CSJ Ibu Pejabat.

“Dengan tangkapan ini, TNB dengan kerjasama PDRM berjaya menumpaskan sindiket mencuri alat ubah yang berlaku di sekitar Tanjung Malim, Perak dan Selangor,” katanya.

Menurutnya, dengan tumpasnya sindiket itu CSJ Ibu Pejabat berjaya menyelesaikan 18 kes kecurian alat ubah yang berlaku sejak Jun dan Julai lalu dengan nilai anggaran RM1.5 juta.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Superintendan Zulkifli Bedin mengesahkan mengenai tangkapan lapan suspek itu.

Menurutnya, kesemua yang ditahan direman bermula semalam.

"Modus operandi kumpulan terbabit ialah dengan meleraikan alat ubah yang dicuri dan komponen utamanya dijual dengan nilai mencecah RM100,000 iaitu jauh lebih rendah daripada nilai sebenar.

“Kenderaan yang digunakan dalam sindiket itu turut disita iaitu sebuah lori pemunggah barang, dua lori kren bersaiz besar dan kecil, bersama sebuah kenderaan rasmi TNB dan tong minyak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau turut mengharapkan kerjasama daripada pengusaha premis barangan lusuh agar tampil dalam membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes-kes berkaitan.

Difahamkan, akan ada tangkapan baru dilakukan susulan penangkapan dalang terlibat kerana dipercayai masih terdapat beberapa pihak terlibat dalam kes terbabit.


Sumber

No comments:

Post a Comment