Thursday 17 October 2013

Pelaksanaan GST satu perangkap?

A Rahman Mahadi
A Rahman Mahadi


SENAI – Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menyifatkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai perangkap yang hanya akan membebankan golongan berpendapatan rendah.

Presidennya, A Rahman Mahadi berkata, pelaksanaan GST menyebabkan setiap pengguna yang menggunakan barangan dan perkhidmatan di pasaran terperangkap dengan cukai berkenaan tanpa mengambil kira tahap pendapatan.

“Walaupun pakar ekonomi beranggapan GST boleh membetulkan asas cukai yang lemah dan menjadi pemangkin sektor perindustrian serta ekonomi negara, namun kami merasakan ia membebankan rakyat berpendapatan rendah.

“Pelaksanaan GST menyebabkan golongan berpendapatan rendah secara automatik menjadi golongan pembayar cukai sedangkan selama ini mereka tidak perlu membayar cukai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam. A Rahman berkata, rakyat akan menanggung lebih banyak bebanan apabila negara mengalami inflasi yang menyebabkan pembayar cukai perlu membayar cukai lebih tinggi kerana kenaikan harga barang.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan supaya mengguna pakai prinsip pembayaran zakat yang hanya diwajibkan bagi seseorang yang mempunyai pendapatan atau memiliki harta melebihi daripada yang ditentukan. “Kerajaan juga disaran memperkemaskan sisi perbelanjaan dan sistem pungutan cukai dan menilai semula pengecualian cukai tertentu yang diberikan kepada syarikat.

“Malah berdasarkan penelitian kami, cukai di negara ini amat tinggi iaitu 25 peratus bagi cukai korporat dan 26 peratus bagi cukai personal berbanding 17 peratus cukai di Singapura,” katanya.

Selain itu, katanya, pelaksanaan GST tidak sesuai dilaksanakan pada ketika ini dalam keadaan kejatuhan nilai ringgit yang boleh menyebabkan pendapatan boleh guna golongan pendapatan rendah semakin menyusut.

“Pakar ekonomi negara sepatutnya memberi fakta jelas mengenai GST kepada semua peringkat sehingga ke akar umbi dan terangkan implikasi GST ke atas IKS,” katanya.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment