Thursday, 17 October 2013

Penduduk gesa roboh replika rumah

Gesa roboh replika rumah
Zainurin menunjukkan papan notis amaran pengosongan bangunan, namun sehingga kini replika itu belum dirobohkan pihak berwajib.


SEKINCHAN – Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) digesa merobohkan segera sebuah replika rumah Melayu kampung zaman lampau di kawasan Pantai Sungai Labu Parit 7 Sekinchan, di sini, yang terbiar sejak lebih empat bulan lalu.

Ketua Umno Cawangan Parit 7 Sekinchan, Zainurin Jubri berkata, penduduk kesal berikutan replika rumah Melayu lama yang dijadikan tempat penggambaran filem Hong Kong itu tidak dirobohkan MDSB meskipun penggambaran filem itu telah lama berakhir.

Menurutnya, keadaan itu mengundang kebimbangan penduduk yang tinggal di situ kerana kemungkinan berlakunya gejala maksiat di dalam pondok itu jika ia berterusan dibiarkan tanpa tindakan sewajarnya.

“Penduduk mempersoalkan sampai bila replika ini akan terus dibiarkan kosong dan tidak memberi apa-apa manfaat kepada penduduk, malah menjadi tempat pihak tidak bertanggungjawab melakukan kegiatan tidak berfaedah,” katanya.

Zainurin yang juga calon Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Sungai Besar berkata, jika dahulu MDSB mendakwa kawasan itu dijadikan tempat tarikan pelancong, namun ternyata kawasan itu tidak memberi apa-apa manfaat kepada penduduk.

“Saya difahamkan, replika ini akan dirobohkan selepas tamat penggambaran, tetapi sebaik saja penggambarannya selesai, pihak produksi filem terbabit terus menghilangkan diri,” katanya.

Beliau berkata, replika itu jika berterusan dibiarkan akan menyebabkan struktur binaannya usang dan reput sekali gus mencacatkan pandangan pengunjung yang singgah ke pantai itu.

“Pantai ini menjadi tarikan pelancong terutama pada hujung minggu, namun keadaan replika yang terbiar menyebabkan keindahan kawasan sekelilingnya dicemari dengan aktiviti tidak sihat,” katanya.

Selain itu menurutnya, penduduk juga bimbang jika kawasan itu dijadikan sebagai sarang penagih jika tidak dirobohkan dengan segera.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penerangan MDSB, Noraini Ahmad berkata, MDSB telah memberi kebenaran sementara tertakluk kepada syarat-syarat yang diberikan kepada produksi filem terbabit sebelum penggambaran itu dijalankan.

“Antara syarat-syarat yang perlu dipatuhi pihak terbabit, mereka perlu mendapat kebenaran daripada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Sabak Bernam, bangunan berbentuk sementara, bertanggungjawab sepenuhnya terhadap struktur bangunan dan tiada kacau ganggu terhadap kawasan sekeliling,” katanya.

Menurutnya, kerja merobohkan replika itu di bawah bidang kuasa PTD Sabak Bernam setelah Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mendapati terdapat struktur bangunan yang didirikan di bawah rezab kerajaan.

“MDSB difahamkan sebanyak dua notis dikeluarkan PTD Sabak Bernam pada Julai dan September lalu kepada pengusaha terbabit, namun masih belum merobohkan bangunan itu.

“Luas telah isytiharkan kawasan tersebut sebagai kawasan sensitif alam sekitar tahap dua kerana berhampiran persisiran pantai,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment