Thursday 17 October 2013

Penduduk berang tiada elektrik

Penduduk berang tiada elektrik
Pengurus Cawangan TNB Bera, Mohd Razaifulizan Mohd Rusoff (kanan) menerangkan masalah berkaitan gangguan bekalan kepada Abduk Hadi.


BERA - Sebuah mini Pencawang Pembahagian Utama (PPU) akan dibina di Taman Melor Impian, Triang bagi menampung bebanan penggunaan elektrik yang semakin bertambah di sekitar kawasan Triang.

Pengurus Kawasan (Temerloh), Bahagian Pembahagian TNB, Abdul Hadi Hamid berkata, projek penambahan mini PPU itu dijangka siap akhir bulan ini.

Menurutnya, sebelum ini, bekalan elektrik terputus pada 25 dan 29 September serta 7 Oktober lalu berikutan kerosakan berganda pada kabel sehingga menyebabkan pengguna berang dengan situasi ini.

“Kita ada terima rungutan daripada pengguna lebih-lebih lagi pada 29 September lalu apabila bekalan terputus hampir 13 jam di sekitar kawasan Triang.

“Penambahan kediaman dan kedai di sekitar menyebabkan tahap penggunaan elektrik turut bertambah sehingga mengakibatkan kabel sedia ada tidak mampu menampung bebanan itu,” katanya.

Mohd Hadi berkata, pihaknya menggunakan tujuh set jana kuasa untuk membantu mendapatkan bekalan sementara selain memastikan penambahan mini PPU itu nanti mampu menanggung bebanan tersebut.

Katanya, sekiranya mini PPU itu berfungsi nanti, bekalan elektrik akan dapat disalurkan dengan lebih baik.

“Apabila mini PPU ini berfungsi, TNB akan mengambil masa selewat-lewatnya dua jam untuk mengembalikan bekalan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

“Tetapi selalunya, kita sudah boleh membekalkan tenaga elektrik dalam masa lebih cepat dengan menggunakan atau meminjam kabel lain untuk disalurkan kepada kawasan yang terbabit,” katanya
- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment